29.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Raya Korban punca kes COVID-19 melonjak – MB Terengganu

Mesti Baca

KEMAMAN – Sambutan Hari Raya Aidildha yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan ditetapkan menjadi antara punca peningkatan mendadak kes COVID-19 di Terengganu, kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau berkata, terdapat segelintir masyarakat di negeri itu yang mengadakan keraian dan majlis secara sembunyi ketika sambutan Hari Raya Korban baru-baru ini.

“Ia termasuklah terdapat aktiviti rentas negeri dan daerah semasa sambutan raya (Aidiladha) walaupun ia tidak dibenarkan,” katanya mengulas perkembangan terkini Covid-19 di Terengganu yang disiarkan di Facebooknya malam tadi.

Sejak awal bulan lalu, kes COVID-19 di Terengganu menunjukkan perkembangan baik apabila mencatatkan dua angka selama beberapa minggu.

Bagaimanapun, jumlah itu meningkat sejak 16 Julai kepada tiga angka dengan semalam sahaja sebanyak 883 kes di seluruh negeri itu.

Ahmad Samsuri berkata, kemasukan pekerja kontrak warga asing dari luar Terengganu yang tidak disaring turut mencetuskan kluster di antara mereka selain peningkatan kes-kes bergejala disebabkan penularan cepat dalam komuniti.

Katanya, penambahan kes COVID-19 semalam juga disebabkan peningkatan saringan kontak rapat dan bersasar yang dilakukan di beberapa lokaliti di seluruh daerah di Terengganu.

Bagaimanapun Ahmad Samsuri menjelaskan, kerajaan negeri melalui Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dan pelbagai agensi lain sedang berusaha menangani jangkitan COVID-19 termasuk aktiviti kawalan dengan meningkatkan saringan kontak rapat dan saringan di lokaliti berisiko yang telah dikenal pasti.

“Susulan dari aktiviti pengesanan ini, kita menjangkakan peningkatan kes dalam masa dua minggu akan datang.

“Kerajaan negeri juga mahu proses vaksinasi di tempat kritikal dan kawasan yang mencatat bilangan kes tinggi dipercepat serta dipertingkatkan. Bagi tujuan itu kita akan mohon penambahan vaksin terutama untuk daerah Kemaman dan Dungun,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Veto AS ke atas Palestin: Pengkhianatan terhadap keadilan

Oleh AZRIL MOHD AMIN DALAM tindakan terbaharu kedegilan diplomatik, Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa vetonya untuk menggagalkan resolusi yang mahu...

Lagi Artikel Berkaitan