24.7 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

PKP penuh: MB, Exco Terengganu potong gaji sebulan

Mesti Baca

KUALA TERENGGANU – Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar serta Exco Kerajaan Negeri akan memotong gaji masing-masing selama sebulan dan akan dimasukkan ke dalam Tabung Covid-19 Terengganu.

Ahmad Samsuri berkata, ia adalah langkah tambahan bagi meringankan beban rakyat negeri Terengganu berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh di seluruh negara mulai 1 hingga 14 Jun.

Beliau berkata, pada masa sama para penjawat awam juga akan turut bersama menyumbang menerusi pemotongan elaun masing-masing.

“Setiap usaha kerajaan negeri adalah sebagai nilai tambah untuk mengurangkan impak sosio-ekonomi rakyat yang terkesan ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebooknya hari ini.

Sabtu lalu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh di seluruh negara melibatkan semua sektor termasuk ekonomi dan sosial kecuali sektor perkhidmatan perlu.

Pelaksanaan sekatan pergerakan penuh atau ‘total lockdown’ bagi fasa pertama dilaksanakan mulai semalam sehingga 14 Jun ini bagi melandaikan ramtaian Covid-19 yang kini melebihi 7,000 kes harian.

Ahmad Samsuri turut mengumumkan agihan Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu 3.0(BERKAT 3.0) sebanyak RM200,000 untuk setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi tujuan yang sama.

Advertisements

Katanya, bantuan secara bersasar berjumlah RM6.4 juta itu akan diagih kepada semua DUN di negeri ini dalam dua fasa.

“Kerajaan negeri juga bersetuju memberi penangguhan atas sewaan premis perniagaan milik Kerajaan Negeri, Badan Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk bulan Jun dan Julai 2021.

“Ia tertakluk kepada premis perniagaan yang terkesan akibat penutupan ekonomi berikutan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0, dan premis-premis dengan kadar sewa tidak melebihi RM5,000 sebulan kecuali sewaan tapak menara telekomunikasi,” katanya.

Ahmad Samsuri berkata, bagi peminjam Yayasan Terengganu yang berpendapatan di bawah RM2,500 pula akan diberi pilihan untuk memohon moratorium selama tiga bulan.

“Saya juga menyeru agar semua rakyat Terengganu bersatu hati dalam tempoh yang kritikal ini, kerana setiap langkah dan pematuhan arahan dan SOP amatlah signifikan untuk mengatasi pandemik COVID-19 yang semakin serius. Pastikan mendaftar vaksin dalam Program Imunisasi Negara.

“Akhirnya, jangan lupa jadikan doa dan munajat dalam rutin kita setiap hari. Sayangi nyawa keluarga anda dan hargailah petugas barisan hadapan yang masih belum berhenti berjuang sejak lebih setahun yang lalu,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Piala Asia B23: Pemain muda balik tangan kosong dari Qatar

DUA minggu berkampung di Doha, Qatar untuk menyesuaikan diri dengan keadaan sehingga korbankan hari raya Aidilfitri bersama keluarga ...

Lagi Artikel Berkaitan