Wednesday, July 22, 2026

Isu tanah ladang FELDA: Zahid sedia bincang dengan MB

FELDA kini diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri dan beliau diberi tanggungjawab untuk menangani permasalahan yang sedang dihadapi agensi itu.

Mesti Baca

DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi akan berbincang dengan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Shamsuri Mokhtar berhubung tuntutan tanah ladang yang diusahakan oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) oleh kerajaan negeri.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, FELDA kini diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri dan beliau diberi tanggungjawab untuk menangani permasalahan yang sedang dihadapi agensi itu.

“Saya akan berbincang dengan Menteri Besar Terengganu mengenai perkara ini. Tidak ada isu yang tidak boleh diselesaikan.

“Yang penting adalah kepentingan peneroka yang juga rakyat Terengganu dan rakyat negara kita,” katanya selepas menghadiri Sidang Kemuncak Konvensyen Cyberjaya 2025 di Kuala Lumpur hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menegaskan untuk menyelesaikan perkara itu secara rundingan.

“Saya akan hubungi mereka dalam masa terdekat,” katanya.

Kerajaan Negeri Terengganu sebelum ini mengeluarkan  notis larangan menceroboh tanah yang diusahakan FGV Holdings Berhad (FGV) di 10 ladang, seluas kira-kira 15,000 hektar.

Semalam, FELDA dan FGV menegaskan bahawa mereka komited untuk menyelesaikan isu ladang di wilayah Terengganu berlandaskan undang-undang.

FELDA dan FGV dalam kenyataan bersama berkata, FELDA mempunyai hak dan asas yang jelas serta kukuh ke atas ladang-ladang terbabit di bawah Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 [Akta 530].

Menurut mereka, akta tersebut memberi mandat dan tanggungjawab secara langsung kepada FELDA untuk membangunkan Kawasan Penempatan Berkelompok (GSA) serta selaras dengan kuasa yang diberikan di bawah Akta Pembangunan Tanah 1956 [Akta 474]. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan