26.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, July 25, 2024

Peruntukan Pusat untuk Terengganu RM7.23 bilion – Anwar

Mesti Baca

JUMLAH keseluruhan peruntukan perbelanjaan Kerajaan Persekutuan untuk Terengganu pada tahun ini meningkat kepada RM7.23 bilion, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata jumlah itu termasuk perbelanjaan pengurusan agensi Persekutuan dan projek pembangunan di negeri itu, melebihi jumlah peruntukan RM5.99 bilion yang diberikan Kerajaan Persekutuan kepada Terengganu pada 2022, iaitu sebelum pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Katanya, ini sekali gus menepis dakwaan bahawa peruntukan untuk Terengganu telah dikurangkan atau negeri tersebut diabaikan Kerajaan Persekutuan.

“Belum pernah berlaku, iaitu pimpinan Kerajaan Persekutuan (termasuk) Perdana Menteri, timbalan perdana menteri, menteri-menteri kanan, KSN (Ketua Setiausaha Negara) dan semuanya duduk bersama dengan kerajaan negeri serta berbincang mengenai keutamaan di negeri-negeri.

“Ini kerana kadang-kadang keutamaan difikirkan di Putrajaya tidak sama dengan keutamaan di negeri maka kita ubah suai setelah mendengar (dari pihak) kerajaan negeri,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Janakuasa Solar Hibrid Cypark Merchang, Marang hari ini, lapor Bernama.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Samsuri Mokhtar.

Advertisements

Bagaimanapun, Anwar berkata keutamaan yang harus diberikan oleh semua pihak termasuk kerajaan negeri adalah menghapuskan miskin tegar dalam kalangan rakyat.

Dalam hal tersebut, beliau mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada jentera Kerajaan Terengganu yang telah memberikan kerjasama baik kepada Kerajaan Persekutuan sehingga matlamat untuk menoktahkan miskin tegar di negeri ini bakal dicapai pada hujung Julai ini.

Sementara itu menerusi Facebook beliau, Anwar menggesa semua institusi pendidikan yang menjalankan penyelidikan agar bekerjasama dengan kementerian dan sektor swasta bagi menbangunkan bidang-bidang baharu khususnya tenaga solar.

Beliau berkata, dalam konteks yang sama, syarikat yang mempunyai kepakaran kemudiannya harus melatih anak-anak dalam bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) agar dapat menyediakan pekerjaan kepada masyarakat untuk dimanfaatkan demi kemajuan ekonomi dan juga negara.

“Saya percaya, pengukuhan ekosistem ini adalah bertepatan dan seiring dengan sasaran negara untuk mencapai karbon sifar bersih pada tahun 2050,” katanya.

Advertisements

Terkini

Polis kesan sindiket penipuan beli barang terpakai palsu

POLIS sedang mengesan satu sindiket penipuan pembelian barangan terpakai menggunakan kaedah 'phishing' yang setakat ini menyebabkan kerugian lebih RM243,000. Pengarah...

Lagi Artikel Berkaitan