28 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 23, 2024

‘Kosmopolitan Barat’ di kampung kehilangan pelabuhan

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

Oleh MOHD AZRONE SARABATIN

KOTA BELUD – Pelik tapi benar. Kunjungan penulis di sebuah kampung di daerah ini menemui banyak lokasi dan spesies flora dan fauna menggunakan nama kosmopolitan di Barat, selain kewujudan satu-satunya ‘rumah pangsa’ dalam air di dunia.

“Mari pergi Lebak Tanah sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, di situ ada ‘Dallas’,” kata seorang petani dari Kampung Labuan, di sini, Amran Sibin, 40, sebaik penulis sampai di kampungnya sebelum PKP 3.0.

Penulis agak terkejut kerana dalam kampung yang sebahagian besar tanahnya adalah ‘peranauan’ atau sawah ada ‘kota Dallas’. Tidak sabar sampai ke Lebak Tanah iaitu sistem saliran sawah mirip Terusan Wan Mat Saman di Kedah.

kampung
AMRAN SIBIN

Sesampainya di Lebak Tanah, Amran yang bercita-cita menjadikan kampungnya kawasan pelancongan berasaskan pertanian, mengangkat pukat yang dipasangnya dan berjaya menangkap beberapa ekor ikan air tawar seperti ikan puyu, tilapia dan lampam Jawa.

“Inilah `Dallas’, kata Amran sambil memegang ikan tilapia hitam. Rupanya ‘Dallas’ adalah bahasa Bajau loghat Sama yang bermaksud ikan tilapia.

Ketika memerhati kanak-kanak meniti sebuah titi buluh, Amran berkata nama titi itu ‘London is polindang’ dan meminta kana-kanak tersebut berhati-hati takut jatuh bukan sampai ke London tetapi boleh `londod’.

Sekali lagi saya menggelengkan kepala tidak faham maksud ‘London is Polindang’ dan ‘londod’. Rupanya ‘London is Polindang’ adalah kesilapan pemahaman bahasa Inggeris berasal daripada perkataan ‘London Bridge is falling down’.

Kata Amran pada era 1980-an ada kanak-kanak perempuan yang mengikuti ibu mereka ke sawah akan menyanyi lagu `London is polindang’ ketika meniti titi buluh tanpa menyedari mereka menggunakan bahasa Inggeris yang silap. ‘Londod’ pula bahasa Bajau bermaksud lemas.

“London is polindang sama seperti ‘Polis entry one two jaga’ permainan kanak-kanak di Semenanjung sedangkan sepatutnya ‘Police and thieves went to jungle’,” katanya.

kampung
Seorang kanak-kanak meniti titian kayu dikenali ‘London is polindang’ di Kampung Labuan, Kota Belud. – Gambar: Mohd Azrone Sarabatin

Amran berkata, pada era 1980-an, kawasan sawah di kampungnya digelar Amsterdam Timur kerana kewujudan banyak kincir angin tradisional digunakan pesawah untuk menakut-nakutkan pipit dan tikus yang memakan padi.

Pada masa sama katanya, ada ‘Eiffel Tower’ Kota Belud pada era 1960-an di tebing terusan sawah berkenaan. Sekali lagi penulis terkejut, teknologi apa pula itu, rupanya ia adalah menara tinjau atau ‘tembara’ diperbuat daripada buluh untuk memantau penceroboh kampung.

Seterusnya, Amran mengajak penulis menyaksikan ‘rumah pangsa’ terapung di dalam air Lebak Tanah dan agak mengejutkan juga teknologi apa yang digunakan penduduk kampung berkenaan sehingga mengatasi kecanggihan teknologi Barat.

Advertisements

Amran pun pergi ke tebing Lebak Tanah dan mengambil pangsa cempedak yang dipenuhi siput air tawar dikenali ‘beluku’.

Rupanya, ‘rumah pangsa dalam air’ yang dimaksudkan adalah pangsa cempedak dijadikan umpan menangkap ‘beluku’. Pangsa dalam bahasa Bajau adalah ‘samut’, manakala cempedak pula dikenali ‘tebadak’.

pangsa cempedak
Pangsa cempedak digunakan untuk memerangkap siput air tawar dikenali ‘beluku’ sehingga wujud panggilan ‘rumah pangsa’ di dalam terusan sawah Lebak Tanah. – Gambar: Mohd Azrone Sarabatin

Dalam pada itu, Amran berkata, petani di kampung itu berhasrat menjadikan kampung berkenaan lokasi pelancongan berasaskan pertanian dengan memanfaatkan nama-nama kosmopolitan Barat di kampung itu selepas berakhirnya pandemik COVID-19.

Beliau berkata, pada masa sama menawarkan pakej penanaman padi dan menaiki rakit di Lebak Tanah untuk melihat ‘kosmopolitan Barat’ di terusan sawah berkenaan.

Katanya, lokasi sawah dan saliran yang menghadap Gunung Kinabalu pastinya mampu memberi kepuasan kepada pelancong.

“Pelancong bukan sahaja dapat menikmati pengalaman menanam padi dan memancing ikan menggunakan joran tradisional atau mengutip ‘beluku’ dari pangsa cempedak, tetapi didedahkan dengan sejarah ‘seliu-liu’ iaitu saling membantu secara timbal balik ketika proses penanaman, menuai dan membanting padi yang menjadi warisan masyarakat Bajau di Kota Belud,” katanya.

beluku
Siput air tawar yang dikenali ‘beluku’ diperangkap menggunakan pangsa cempedak sehingga menyebabkan wujud ‘rumah pangsa’ dalam terusan sawah Lebak Selengkutai, Kota Belud. – Gambar: Media sosial

Amran berkata, pada masa sama, pelancong juga akan didedahkan dengan sejarah kampung itu yang suatu masa dulu memiliki pelabuhan tempat persinggahan pedagang, pendakwah dan mereka yang balik dari Mekah untuk menunaikan haji.

Katanya, sebab itulah nama kampung itu, Labuan iaitu sempena perkataan `pelabuhan’, namun kini tapak pelabuhan itu sudah tertimbus akibat pemendapan sungai menyebabkan berlaku fenomena ‘sungai mati’ dan mereka kehilangan pelabuhan.

kampung Gunung Kinabalu
Parit sawah yang berlatarkan Gunung Kinabalu sesuai untuk pelancongan berasaskan pertanian di Kampung Labuan, Kota Belud. – Gambar: Amran Sibin

Beliau berkata, sebab itulah di kampung itu ada sebatang sungai dikenali ‘Suang Matai’ (Sungai Mati). Selain itu, ada pendapat ia berasal daripada perkataan Bajau iaitu ‘Labuan Ti’ yang bermaksud kita jatuhkan ketika mereka berjuang menentang penjajah pada era kolonial.

“Bagi generasi muda pula ada yang menganggap, kampung ini berasal daripada perkataan bahasa Inggeris ‘Love One’ sebagai manifestasi penduduk yang sentiasa menyayangi kampung mereka,” katanya.

Dalam pada, Setiausaha Persatuan Penduduk Kampung Labuan, Pandikar Endar, 39, mencadangkan supaya monumen dibina di tapak yang dikesan lokasi pelabuhan sempena nama Kampung Labuan.

“Ini bagi membolehkan generasi muda memahami sejarah kampung, selain memudahkan ahli arkeologi mengesan tapak pelabuhan berkenan,” katanya. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Agong, Permaisuri zahir rasa sedih tragedi nahas helikopter TLDM

YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menzahirkan rasa sedih atas tragedi nahas dua...

Lagi Artikel Berkaitan