32.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Garis panduan penerima 2 dos lengkap vaksin ke MKN

Mesti Baca

KOTA TINGGI – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, garis panduan tentang perkara yang boleh dilakukan oleh mereka yang melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 akan dibentangkan kepada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam masa terdekat.

Menurut beliau, draf tersebut disediakan dengan merujuk kepada amalan terbaik di beberapa negara dalam menguruskan COVID-19 termasuk Amerika Syarikat (AS).

“Di AS contohnya, mereka sudah mula memberi beberapa faedah kepada penerima vaksin berikutan sudah merekodkan lebih 30 peratus penduduk negara itu yang sudah lengkap dua dos.

“Malaysia juga akan beri sedikit kelonggaran pada penerima vaksin sudah lengkap dua dos. Namun kita akan minta pakar kesihatan awam untuk beri pandangan, cadangan dan bentangkan dalam Sidang Khas MKN untuk dijadikan rujukan sebelum keputusan mengenainya dibuat,” katanya seperti dilaporkan BH Online, hari ini.

Dr Adham menambah, beliau dan Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, sudah diberi taklimat oleh pakar kesihatan awam negara, dalam pengendalian serta faedah vaksin ketika mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV), dua hari lalu.

Minggu lalu, Khairy yang juga Menteri Sains dan Teknologi berkata, kerajaan dijangka mengeluarkan garis panduan kepada penerima yang sudah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 bulan hadapan, bagi memberi lebih kelonggaran kepada golongan berkenaan.

Menurut beliau, JKJAV sedang menyediakan garis panduan itu, yang akan dibentangkan di peringkat jawatankuasa berkenaan, sebelum dibawa ke MKN.

“Kita mungkin akan keluarkan garis panduan mengenai apa yang anda boleh lakukan selepas anda sudah menerima sepenuhnya dua dos vaksin.

“Bagaimanapun, buat masa ini, dengan penularan varian COVID-19 Delta, kita lebih berhati-hati,” katanya.

Setakat semalam, seramai 3,314,871 orang telah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19.

Jumlah itu bersamaan dengan 10.2 peratus pendudk di negara ini.

Seramai 7,435,877 orang telah menerima suntikan dos pertama vaksin, menjadikan jumlah keseluruhan 10,750,748 dos vaksin diberikan di bawah PICK.

Kadar pemberian vaksin juga sangat memberangsangkan di mana lebih 300,000 dos disuntik setiap hari sejak Isnin lalu. – EDISI 9

Terkini

Malaysia kecewa kuasa veto diguna halang Palestin anggotai PBB

MALAYSIA menyuarakan rasa bimbang dengan penggunaan veto di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk menghalang kemasukan Palestin sebagai...

Lagi Artikel Berkaitan