32.1 C
Kuala Lumpur
Sunday, April 28, 2024

Vaksin tifoid tidak berdaftar bernilai RM12,000 dirampas

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

VAKSIN tifoid tidak berdaftar bernilai lebih RM12,000 dirampas Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) selepas tindakan penguatkuasaan dijalankan terhadap lima klinik perubatan swasta pada 18 Oktober lalu.

Tindakan telah dilakukan Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) JKN Selangor selepas menerima aduan orang ramai.

Pengarahnya, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata, hasil pemeriksaan mendapati lima klinik perubatan swasta menggunakan vaksin tifoid tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, Kementerian Kesihatan Malaysia (PBKD KKM).

“lndividu yang melakukan kesalahan boleh dikenakan hukuman bawah Akta Jualan Dadah 1952 iaitu denda sehingga RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun.

“Manakala bagi syarikat yang melakukan kesalahan sama boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 di bawah akta sama,”katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dr Sha’ari berkata, keluaran vaksin yang tidak berdaftar dengan PBKD KKM tidak terjamin dari segi keberkesanan, keselamatan dan kualitinya.

Advertisements

Dalam pada itu, beliau memberitahu, CPF JKNS telah merampas vaksin tifoid tidak berdaftar bernilai melebihi RM56,000 dalam tempoh 2021 hingga tahun ini.

Jelas beliau, suntikan vaksin tifoid digunakan untuk mencegah penyakit demam kepialu bertujuan merangsang sistem imunisasi badan untuk menghasilkan antibodi bagi melawan jangkitan bakteria ‘Salmonella typhi’.

“Sehubungan itu, JKNS menasihatkan orang ramai membeli dan menggunakan ubat- ubatan dan produk kesihatan berdaftar dengan PBKD KKM bagi memastikan kesejahteraan dan kesihatan terjamin.

“Selain itu, orang ramai juga digalakkan mengemukakan aduan dan menyalurkan maklumat meragukan sebagai usaha bersama pihak kementerian untuk membanteras penjualan ubat-ubatan dan produk kesihatan tidak dibenarkan bagi melindungi kesihatan dan kesejahteraan orang awam,”katanya.

Aduan dan maklumat tersebut boleh disalurkan kepada Program Perkhidmatan Farmasi melalui laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my atau melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my.

Saluran juga boleh dibuat melalui CPF berdekatan atau melalui talian 03-78413200 agar tindakan sewajarnya dapat diambil. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Sindiket jual kosmetik haram oleh wanita warga asing tumpas

JABATAN Imigresen Malaysia berjaya menumpaskan satu sindiket penjualan produk kosmetik dan kecantikan tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam...

Lagi Artikel Berkaitan