27.5 C
Kuala Lumpur
Sunday, April 28, 2024

Ibu hamil terima vaksin Tdap mulai tahun depan – KKM

Inisiatif baharu ini melibatkan peruntukan tahunan sebanyak RM25 juta, bagi meliputi anggaran 500,000 ibu hamil di seluruh negara pada setiap tahun

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) akan memperkenalkan inisiatif baharu, iaitu pemberian vaksin kombinasi tetanus–difteria-pertussis (Tdap) kepada semua ibu hamil di Malaysia.

Menterinya, Zaliha Mustafa berkata, inisiatif berkenaan bertujuan mengurangkan risiko jangkitan pertussis, terutamanya dalam kalangan bayi berumur bawah lima bulan.

Menurutnya, inisiatif baharu ini melibatkan peruntukan tahunan sebanyak RM25 juta, bagi meliputi anggaran 500,000 ibu hamil di seluruh negara pada setiap tahun.

“Pelaksanaan dijangka akan bermula pada tahun 2024 setelah urusan perolehan bekalan vaksin Tdap selesai dan bekalan vaksin tersebut tersedia di fasiliti kesihatan KKM di seluruh negara,”katanya menerusi kenyataan di sini.

Beliau berkata, pemberian vaksin Tdap kepada ibu hamil akan memberi perlindungan kepada bayi bermula dari dalam kandungan sehingga bayi tersebut lahir dan dapat melengkapkan tiga dos primer vaksin pertussis pada umur lima bulan, melalui antibodi dari tubuh ibu yang dipindahkan kepada bayi dari dalam kandungan.

“Oleh itu, pemberian vaksin Tdap kepada ibu hamil dapat mencegah jangkitan pertussis dalam kalangan bayi berumur kurang dari lima bulan di negara ini.

Beliau berkata, bayi berumur bawah lima bulan merupakan kumpulan yang paling berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan pertussis dan mengalami komplikasi penyakit tersebut, seperti pneumonia (radang paru-paru), encephalopathy (radang otak) dan kematian.

Advertisements

“Perkara ini berlaku kerana antibodi dalam tubuh bayi hanya akan mencapai tahap perlindungan yang optimum apabila bayi lengkap menerima tiga dos vaksin pertussis yang diberikan di bawah Program Imunisasi Kebangsaan apabila berumur lima bulan.

“Terkini, bagi tahun ini sehingga 23 Ogos 2023 sebanyak 343 kes Pertussis dengan 24 kematian telah dilaporkan di seluruh Malaysia.

“Daripada 343 kes pertussis yang dilaporkan, 173 kes (50.4 peratus) merupakan bayi berumur bawah 5 bulan. Manakala dari 24 kematian yang dicatatkan pula, 19 kematian berlaku dalam kalangan bayi berumur bawah 5 bulan.

Ujar beliau, KKM kini sedang membuat perancangan rapi pelaksanaan pemberian vaksin kombinasi tetanus–difteria- pertussis (Tdap) kepada semua ibu hamil di seluruh negara.

“Apabila dilaksanakan kelak, semua ibu hamil, termasuk bukan warganegara, akan diberikan satu dos vaksin Tdap ketika trimester kedua atau ketiga kehamilan (antara tempoh kehamilan 13 hingga 36 minggu) secara percuma di fasiliti kesihatan primer KKM di seluruh negara.

“Maklumat lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,”katanya.-Edisi 9

Advertisements

Terkini

Sultan Selangor ingatkan jemaah haji kekalkan disiplin diri

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan bakal-bakal haji dari negeri itu agar mengekalkan disiplin diri semasa berada di...

Lagi Artikel Berkaitan