KUALA LUMPUR – Kesinambungan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan langkah-langkah pemulihan ekonomi lain akan diperincikan semasa pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan Bajet 2022.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, secara keseluruhan, PPN merupakan salah satu inisiatif kerajaan untuk memberi tumpuan kepada pembukaan semula ekonomi dan aktiviti sosial secara teratur dan berperingkat.
“Insya-Allah, RMK-12 dijangka akan dibentangkan di dewan yang mulia ini pada 20 September dan Bajet 2022 pada 29 Oktober nanti,” katanya ketika memberi penerangan tentang PPN dalam sidang khas Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau turut memaklumkan, Bajet 2022 akan menumpukan kepada tiga fokus utama iaitu agenda memacu pemulihan ekonomi, membina semula daya ketahanan negara dan memangkin pembaharuan atau Recovery, Resilience, Reform.
Sehubungan itu, Muhyiddin memberitahu, tumpuan khusus akan diberikan kepada usaha untuk memulihkan sektor terjejas seperti pelancongan, meningkatkan keupayaan sistem kesihatan awam serta skop perlindungan sosial dan merancakkan ekonomi digital dalam usaha mengukuhkan daya saing negara dalam menghadapi norma baharu global.
Menurut beliau, kerajaan menerusi Kementerian Kewangan buat pertama kalinya akan menerbitkan kenyataan pra-bajet termasuk dokumen konsultasi rakyat mengenai tumpuan dasar pada Ogos nanti.
Perdana Menteri berkata, selaras dengan usaha meningkatkan ketelusan proses serta penglibatan rakyat dalam penyediaan bajet tahunan.
“Selain itu, sebagai elemen utama penyampaian maklumat mengenai pelaksanaan PPN kepada masyarakat awam, sebuah Portal Pelan Pemulihan Negara dibangunkan sebagai pusat rujukan sehenti yang memaparkan indikator-indikator terkini serta maklumat berkaitan PPN, manfaat dan juga SOP terkini, dengan cara yang lebih mesra pengguna,” jelasnya.
Muhyiddin menambah, kerajaan faham bahawa rakyat berada dalam keadaan resah dan bimbang apabila angka kes harian COVID-19 menunjukkan peningkatan.
Beliau memberi jaminan bahawa kerajaan sedang berusaha sedaya mungkin untuk mengatasi kemelut yang kita hadapi ini dengan mempercepatkan program vaksinasi malah, Malaysia hari ini adalah antara negara yang terpantas memvaksinasi penduduknya.
“Benar, kerajaan ini tidak sempurna. Tetapi apa yang benar juga ialah kerajaan hari ini tidak berpeluk tubuh membiarkan rakyat menderita, malah sentiasa bergerak dan bertindak untuk menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat.
“Yang penting kita mesti bersolidariti dalam menghadapi zaman yang sukar ini. Tidak usahlah kita berbalah dan menuding jari.
“Kerana di sana ada rakyat yang jiwanya sengsara, ada bapa yang tenggelam punca, ada anak yang menderita, manakala frontliners kita terus terbeban dan hospital semakin tertekan.
“Marilah kita berganding bahu, mencari berkat dan meraih jaya pada setiap usahasama. Bulat air kerana pembentung, bulat kita kerana muafakat. Bersatu kita pasti teguh, bercerai kita roboh,” katanya.
Perdana Menteri turut menyeru seluruh rakyat untuk mendapatkan vaksin dengan segera.
“Tidak kiralah apa jenamanya, ia masih vaksin yang berkesan untuk mencegah wabak yang berbahaya.
“Seganas mana pun wabak ini menakutkan manusia, insya-Allah vaksinasi adalah cara terbaik untuk melindungi nyawa,” jelasnya.
Beliau turut mengambil kesempatan mendoakan kejayaan dan keselamatan kontinjen negara yang sedang berjuang di temasya Sukan Olimpik Tokyo.
“Semoga misi 64 barisan atlet, jurulatih dan petugas yang dipimpin oleh Datuk Lee Chong Wei selaku ketua kontinjen, dapat melakar sejarah kejayaan cemerlang buat negara kita dalam temasya sukan Olimpik kali ini,” jelasnya. – EDISI 9