25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Jadikan Tabung Haji institusi amanah nasional – Tok Mat

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Lembaga Tabung Haji (TH) seharusnya dijadikan sebuah institusi amanah nasional yang ditadbir oleh lembaga pemegang amanah.

Cadangan itu dilontarkan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam hantaran Facebook beliau hari ini.

Beliau berkata, pentadbiran TH perlu diserahkan kepada lembaga pemegang amanah yang dianggotai oleh individu yang paling dihormati dan berwibawa termasuk tokoh antarabangsa.

“Masalah TH bukan lagi kawal selia. Masalah sebenar TH adalah kepimpinan terbaik, amanah dan kompeten.

“Dan masa depan TH bukan pada meletakkan ia di bawah Bank Negara Malaysia (BN). Masa depannya adalah pada kepimpinan yang boleh membongkar potensinya sebagai dana amanah dan pemberdayaan paling produktif untuk ummah.

“Saya mengajak umat Islam menyatakan pendirian tegas agar kerajaan mengembalikan TH ke peranan strategiknya semula , selaras dengan semangat penubuhan TH itu sendiri,” katanya.

mohamad hasan
MOHAMAD HASAN

Semalam, Kementerian Kewangan mengumumkan TH akan dikawal selia oleh BNM dan Jemaah Menteri bersetuju dengan penyenaraian TH sebagai institusi kewangan Islam bawah Seksyen 223 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam.

Mesyuarat Jemaah Menteri pada 14 Julai lalu bersetuju supaya kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 [Akta 119] bagi menyiasat isu-isu berbangkit mengenai TH.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu adalah hasil pengauditan perunding-perunding seperti PricewaterhouseCoopers (PwC), Enst & Young (EY) dan Roland Berger dari 2014 hingga 2020.

Menurut beliau, antara terma RCI yang telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri adalah skop RCI tertumpu kepada hasil penemuan perunding-perunding ke atas isu-isu berbangkit TH dari 2014 hingga 2020.

Pada masa yang sama, Mohamad mempersoalkan sama ada keputusan meletakkan TH di bawah BNM merupakan penyelesaian terbaik untuk memperkukuhkan institusi tersebut.

Beliau menambah, selama puluhan tahun, kerajaan terdahulu di bawah Barisan Nasional (BN) telah berjaya memperkasakan TH.

“Ia adalah agensi pengurusan jemaah haji terbaik di dunia dan institusi pelaburan umat Islam yang canggih dan mampan.

“Kerajaan BN telah dengan jayanya menterjemahkan idea besar Almarhum Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz, pendiri dan pengasas TH,” jelasnya.

Mohamad memberitahu, kepelbagaian pelaburan TH telah menjadikan ia lebih besar dan lebih hebat daripada hanya satu tabungan yang bebas daripada unsur riba dalam membantu umat Islam menunaikan fardu haji.

Menurut beliau, melaluinya, jutaan umat Islam menikmati kos haji yang terendah di dunia, tidak membebankan dan dengan perkhidmatan haji yang terbaik.

“Saya bimbang dengan meletakkan TH di bawah BNM, maka ia akan diperlakukan sebagai sebuah agensi kewangan dan tabungan semata-mata.

“Ia akan hilang potensinya sebagai sebuah dana amanah dengan misi yang lebih besar dan mulia, iaitu pemerdayaan ummah.

“TH adalah dana mahsul yang sangat strategik kepada kepentingan umat Islam di negara ini,” katanya. – EDISI 9

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan