23.3 C
Kuala Lumpur
Monday, October 18, 2021

IPT disaran lahirkan graduan bersifat global

Mesti Baca

CYBERJAYA – Bagi meningkatkan kadar kebolehpasaran dalam kalangan graduan tempatan, institusi pengajian tinggi (IPT) disarankan supaya melahirkan graduan bersifat global.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, dalam keadaan ekonomi yang sangat mencabar ini, kebergantungan pada pasaran kerja tempatan sahaja sudah tidak memadai.

Beliau berkata, IPT perlu memastikan graduan tempatan berupaya menembusi pasaran kerja antarabangsa, justeru perlu memikirkan alternatif dengan melahirkan graduan yang bersifat global.

graduan global
MOHAMMAD SHATAR SABRAN

“Dalam usaha ini, graduan perlu mempunyai ciri atau ‘pakej’ tertentu supaya diterima majikan sama ada dari syarikat multinasional di Malaysia mahupun yang berpangkalan di luar negara.

“Antara ciri-ciri itu termasuklah mempunyai daya pemikiran kritis, berkarakter global, sifat kepemimpinan tinggi, boleh bekerja dalam satu pasukan serta nilai tambah dalam aspek kemahiran insaniah,” katanya.

Baca juga:   83% pelajar IPT lengkap vaksin COVID-19

Beliau berkata demikian ketika mengulas bagaimana IPT boleh meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan tempatan yang kini pada 84.4 peratus menerusi saranan inisiatif melahirkan graduan global.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, penguasaan bahasa asing dan kompetensi silang budaya menjadi elemen paling penting dalam melahirkan graduan global kerana kemahiran itu sangat diperlukan lebih-lebih lagi apabila graduan ingin bekerja di luar negara.

Ketika ini, katanya, segulung ijazah semata-mata tidak menjanjikan graduan berupaya mendapat peluang pekerjaan kerana secara umumnya dalam kalangan masyarakat kini mempunyai kelayakan akademik yang baik.

Baca juga:   Kerteh FC bukan sekadar menjual maruku

“Jadi, nilai tambah graduan berbentuk kemahiran alternatif amat diperlukan dan penguasaan bahasa asing ialah sesuatu yang wajar diberi pertimbangan,” katanya.

Beliau berkata, semua usaha itu bukan sekadar membantu Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan, malah mempersiapkan golongan itu ke arah bidang kerjaya yang lebih terbuka dan cerah.

“Jadi, graduan tidak perlu tertumpu pada pasaran tempatan sahaja untuk memperoleh peluang pekerjaan kerana kini dunia bersifat tanpa sempadan,” katanya. – EDISI 9

Terkini

Muzakarah khas bincang SOP rapatkan saf solat berjemaah – Idris

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah diarah untuk mengatur satu muzakarah khas untuk membincangkan prosedur operasi standard (SOP) bagi...

Lagi Artikel Berkaitan