28.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Yusoff Rawther fail saman sivil terhadap Anwar

Mesti Baca

CYBERJAYA – Bekas kakitangan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Muhammed Yusoff Rawther memfailkan saman sivil terhadap Presiden PKR itu atas tuduhan melakukan serangan seksual di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam.

Memetik laporan Malaysia Now hari ini, dalam pernyataan yang difailkan oleh peguamnya, lelaki berusia 28 tahun itu mendakwa dia mengalami trauma serius secara fizikal, psikologi dan sosial akibat insiden tersebut.

Insiden itu dikatakan berlaku 10 hari sebelum Anwar memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson pada 13 Oktober 2018.

Dalam saman tersebut, Muhammed Yusoff menuntut deklarasi mahkamah berhubung tuduhan serangan seksual terhadap Anwar.

Dia juga menuntut ganti rugi am yang setimpal dan kos bagi sesi-sesi terapi yang dijalaninya ketika ini.

Muhammed Yusoff turut menyenaraikan sebanyak 16 tindakan serangan seksual yang didakwa dilakukan oleh Anwar di sebuah bangli milik Ahli Parlimen Port Dickson itu.

Sebelum ini, dia telah memfailkan saman sivil secara berasingan terhadap dua pegawai Anwar dan difahamkan, ketiga-tiga pihak terbabit dalam proses mediasi.

Akuan sumpah Muhammed Yusoff pada November 2019 dan laporan polis terhadap Anwar turut disusuli beberapa minggu siasatan yang dilaksanakan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang melibatkan jenayah dengan niat mencabul kehormatan.

Sepanjang siasatan tersebut, polis memanggil Anwar dan Muhammed Yusoff, di mana Muhammed Yusoff bersetuju untuk menjalani ujian poligraf selama empat jam di Bukit Aman.

Walau bagaimanapun, Anwar dikatakan menolak untuk menjalani ujian tersebut.

Pada 14 Januari 2020, Pejabat Peguam Negara yang ketika itu diketuai Tan Sri Tommy Thomas berkata, ia tidak akan menjalankan pertuduhan terhadap Anwar susulan ‘kekurangan bukti’ dan fakta-fakta yang ‘bercanggah’.

Tiga hari kemudian, Anwar berkata beliau akan memfailkan saman fitnah terhadap Yusoff atas akuan sumpah berkanun yang dikemukakan Yusoff pada 19 November, namun kemudian beliau memutuskan untuk tidak meneruskannya.

Peguam Anwar, Ramkarpal Singh berkata keputusan tersebut diambil kerana klien beliau telah ‘dibersihkan’ oleh Pejabat Peguam Negara, sambil menambah bahawa saman tersebut akan ‘mengambil banyak masa dan melibatkan kos yang tidak perlu’.

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan