29.2 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

PICK berjalan lancar, Fasa 2 seluruh negara dijangka Ogos

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Seluruh negara dijangka beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) awal Ogos sekiranya perkembangan positif Program Vaksinasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) berterusan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PICK memberi petunjuk bahawa kadar vaksinasi lengkap dua dos telah melepasi nilai ambang 10 peratus yang ditetapkan untuk negara beralih dari Fasa 1 ke Fasa 2.

Menurut beliau, perkembangan itu memberi gambaran bahawa negara berada di landasan yang betul dalam usaha mencapai imuniti kelompok.

“Indikator ini sejajar dengan perancangan PPN yang menjangkakan kadar vaksinasi akan mencapai 10 peratus populasi pada akhir Julai ini.

“Sekiranya perkembangan positif ini berterusan, seluruh negara mampu
beralih ke Fasa 2 pada awal bulan Ogos sepertimana negeri Perlis,
Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Pulau Pinang, Sabah dan
Sarawak yang telah pun terlebih dahulu berada di Fasa 2 setelah
melepasi nilai ambang ketiga-tiga indikator utama yang ditetapkan di
bawah PPN,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Berhubung tindakan penguatkuasaan, Ismail Sabri yang juga Menteri Kanan Pertahanan menambah, pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah
melaksanakan 80,827 pemeriksaan COVID-19 termasuk secara mengejut di seluruh negara dengan jumlah anggota seramai 20,005 orang semalam.

Beliau memberitahu, pemeriksaan merangkumi 2,257 kilang,15,256 premis perniagaan, 1,148 tapak pembinaan dan 286 asrama penempatan pekerja.

“Daripada jumlah itu, 68 premis meliputi kilang (23), premis perniagaan (43) dan tapak pembinaan (2) diarahkan tutup kerana gagal mematuhi prosedur  operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia
(PDRM) telah melakukan 80,827 pemeriksaan semalam.

Advertisements

Menurut beliau, Operasi Pematuhan itu melibatkan 4,431 Pasukan Pematuhan yang terdiri daripada 20,005 anggota bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Semalam, 471 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP.

“Daripada jumlah itu, seramai 446 individu dikompaun manakala 16 lagi direman dan sembilan dijamin, katanya.

Ismail Sabri menambah, pasukan keselamatan turut menahan 11 pendatang asing tanpa izin dan merampas tiga kenderaan darat dalam Op Benteng semalam.

Beliau turut mengumumkan pelaksanaan PKP Diperketatkan (PKPD) di beberapa lokaliti mulai 16 hingga 29 Julai.

Lokaliti-lokaliti terbabit adalah Kampung Jagoi Duyoh di Bau, Kuching; Kampung Lubak di Beaufort; Blok 2, Blok 6 dan Blok 9 Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Mesra di Sandakan; Blok Angsana dan Sumboi-Sumboi, Kampung Seberang Benoni di Papar dan Kampung Melalam di Sipitang.

Sementara itu, PKPD di Kampung Landung Ayang, Kudat dilanjutkan mulai 16 hingga 29 Julai.

PKPD di Jalan Kubur, Kuala Lumpur; Kampung Pangkal Jetas, Machang; Penjara Jelebu dan Kuarters Kakitangan serta Taman Public, Kota Kinabalu tamat esok manakala di Kampung Gusi Kinarut, Papar tamat hari ini. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan