31.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Kerajaan tubuh RCI siasat isu berbangkit Tabung Haji

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bersetuju supaya kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 [Akta 119] bagi menyiasat isu-isu berbangkit mengenai Lembaga Tabung Haji (TH).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu adalah hasil pengauditan perunding-perunding seperti PricewaterhouseCoopers (PwC), Enst & Young (EY) dan Roland Berger dari 2014 hingga 2020.

Menurut beliau, antara terma RCI yang telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri adalah skop RCI tertumpu kepada hasil penemuan perunding-perunding ke atas isu-isu berbangkit TH dari 2014 hingga 2020.

“Tetapi, tidak termasuk Pelan Pemulihan dan Penstrukturan TH yang sedang dilaksanakan pada masa ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan menambah, skop lain adalah menentukan sama ada terdapat tindakan menyembunyikan maklumat berkaitan isu-isu yang dibangkitkan dan perbuatan memberi kenyataan yang mengelirukan mengenainya.

Beliau memberitahu, RCI juga akan mengesyorkan tindakan yang sesuai diambil terhadap pihak-pihak yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung jika mereka didapati melanggar mana-mana peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa tanpa menjejaskan apa-apa siasatan dan tindakan perundangan yang sedang dilaksanakan oleh pihak-pihak berkuasa berkaitan.

“Langkah ini adalah bertujuan untuk penambahbaikan dan tadbir urus TH,” jelasnya.

Ismail Sabri berkata, RCI juga akan mengemukakan kepada kerajaan laporan hasil semakandan syor mengenai tindakan susulan, jika perlu, dalam tempoh tiga bulan.

Menurut beliau, Jabatan Perdana Menteri akan mengenal pasti senarai keahlian RCI yang dicadangkan terdiri daripada pakar-pakar dalam bidang syariah, perundangan, perbankan Islam dan pelaburan.

“Perincian berhubung penubuhan dari segi terma dan rujukan serta keanggotaan RCl akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Penubuhan RCI ini adalah wajar supaya siasatan lanjut dapat dibuat terhadap perkara-perkara yang dibangkitkan tersebut dan perakuan sewajarnya dapat dikemukakan kepada kerajaan bagi memulihkan imej serta keyakinan rakyat terhadap kewibawaan TH,” ujarnya.

Tambah Ismail Sabri, penubuhan RCI itu juga bagi memastikan satu siasatan dalaman yang telus dan amanah dilaksanakan demi memastikan TH telah menjalankan mandat dengan profesional dalam menguruskan wang deposit umat Islam.

Pada Jun tahun lalu, Pemuda UMNO Malaysia menggesa kerajaan menubuhkan segera RCI mengenai Tabung Haji berhubung tuduhan penyelewangan yang didakwa berlaku sebelum ini.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, rakyat berhak mendapat penjelasan tuntas dan telus mengenai pelbagai tuduhan yang dibuat oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Bagaimanapun semasa sidang Parlimen pada Ogos 2020, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Albakri berkata, kerajaan menolak cadangan penubuhan RCI sebaliknya hanya menubuhkan Jawatankuasa Petugas Khas untuk mengkaji urus niaga Tabung Haji jika ada keperluan untuk itu.

Katanya, jawatankuasa berkenaan akan dianggotai pakar untuk meneliti urus niaga terbabit agar menepati kepentingan Tabung Haji. – EDISI 9

Terkini

Pengawal keselamatan dituduh bunuh anak berusia 6 bulan

SEORANG pengawal keselamatan yang sebelum ini disyaki mendera bayinya, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi hari ini atas...

Lagi Artikel Berkaitan