AGENSI Kelayakan Malaysia (MQA) dan Accrediting Agency of Chartered Colleges and Universities in the Philippines (AACCUP) memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang jaminan kualiti serta penilaian kelayakan dalam sektor pendidikan tinggi.
Ia dilaksanakan menerusi perjanjian persefahaman (MoU) oleh kedua-dua pihak, sekali gus membuka lembaran baharu dalam hubungan pendidikan antara Malaysia dan Filipina.
Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, kerjasama itu merupakan pencapaian penting yang mencerminkan komitmen bersama kedua-dua negara dalam mengekalkan standard kecemerlangan pendidikan tinggi.
“Melalui MoU ini, MQA dan AACCUP akan melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk pertukaran maklumat, kepakaran berkenaan kerangka kelayakan negara serta proses akreditasi,” katanya selepas majlis berkenaan.
Turut hadir, Presiden ASEAN Quality Assurance Network (AQAN), Dr. Milabel E. Ho dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Jaminan Kualiti) MQA, Prof. Ts. Dr. M. Iqbal Saripan.
AACCUP pula diwakili oleh Pengerusi merangkap Presidennya, Dr. Anthony M. Penaso.
Menurut Mohammad Shatar, antara fokus utama kerjasama itu adalah pembangunan mekanisme yang telus dalam penilaian dan pengiktirafan kelayakan hasil program kerjasama antarabangsa.
“Usaha ini akan memperkukuh pertukaran akademik dan jaringan antara institusi pendidikan di Malaysia dan Filipina serta menyokong perkongsian penemuan penyelidikan dan amalan terbaik dalam bidang jaminan kualiti,” jelasnya.
Katanya lagi, langkah itu selari dengan dasar pengantarabangsaan pendidikan tinggi negara seperti yang digariskan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.
“MoU ini bukan sahaja meningkatkan pengiktirafan bersama kelayakan, malah akan membuka laluan kepada peningkatan mobiliti pelajar dan profesional antara kedua-dua negara.
“Diharapkan kerjasama ini dapat memudahkan pemahaman rentas sempadan terhadap kelayakan akademik, memperluas kerjasama akademik dan memperkayakan pengalaman pendidikan pelajar serta ahli akademik dari Malaysia dan Filipina,” katanya. — Edisi 9

