DATUK Seri Anwar Ibrahim menekankan pentingnya usaha serius untuk menjaga kebajikan warga emas di negara ini agar mereka tidak terus terpinggir dan hidup dalam kesusahan.
Perdana Menteri berkata, walaupun rakyat Malaysia kini hidup lebih lama dengan jangka hayat purata 76 tahun, namun sembilan tahun terakhir dalam hidup mereka sering kali dilalui dalam keadaan serba kekurangan dan kesihatan yang merosot.
“Bayangkan hidup hampir sedekad dalam keadaan sakit dan memerlukan bantuan. Sudah tentu kos penjagaan makin tinggi. Jadi, kerajaan perlu pastikan mereka hidup dengan lebih sejahtera dan bermaruah,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika bercakap dalam International Social Wellbeing Conference 2025, semalam.
Hadir sama Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWP), Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Perdana Menteri turut menjelaskan bahawa pelbagai langkah telah dan sedang diambil oleh Kerajaan MADANI untuk bantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup, terutamanya dalam soal kesihatan dan pendapatan.
Antaranya termasuklah kenaikan gaji minimum, pelarasan gaji penjawat awam yang tertinggi dalam sejarah, serta komitmen syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLIC) untuk memastikan semua pekerja menerima gaji yang wajar.
Beliau turut menyentuh soal perubahan struktur ekonomi, khususnya kebangkitan ekonomi gig.
“Kita kena sedia hadapi realiti baharu. Ekonomi gig bukan hal remeh. Sebab tu kita gerakkan program macam Geran Digitalisasi PKS, bantuan TEKUN dan BSN, supaya ekonomi gig ini naik taraf dan boleh bawa pendapatan yang lebih baik,” ujarnya.
Menurut Anwar, semua ini selari dengan matlamat Kerangka Ekonomi MADANI yang bukan sekadar mengejar angka pertumbuhan, tetapi meletakkan nilai kemanusiaan sebagai asas utama.
“Kita bukan nak maju sorang-sorang, tapi nak pastikan semua rakyat merasa hasil kemajuan tu. Itu maksud sebenar ekonomi MADANI,” tegasnya. – Edisi 9

