“RASA macam dah jadi student universiti!” – Itu antara reaksi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Tun Uda, Bayan Lepas, Pulau Pinang selepas menyertai program motivasi anjuran Universiti Malaya (UM), baru-baru ini.
Program anjuran Pejabat Exco Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Pulau Pinang bersama Fakulti Sastera dan Sains Sosial serta Persatuan Pentadbiran dan Keadilan Sosial UM (PPKSUM) itu berlangsung dari 26 hingga 28 Mei lalu.
Seramai 40 pelajar Tingkatan Lima yang bakal menduduki SPM tahun ini diberi peluang merasai sendiri pengalaman ‘belajar di U’ – lengkap dengan sesi bimbingan, lawatan kampus, dan forum santai bersama pelajar universiti serta alumni.
Program bermula dengan sesi Night Walk in UM, aktiviti suai kenal waktu malam yang bawa pelajar menjelajah sekitar kampus sambil menikmati suasana kehidupan sebenar pelajar universiti.
Esoknya, suasana jadi lebih ceria dengan aktiviti ice-breaking seperti Radio Rosak Pictionary dan Charades yang buat pelajar lebih selesa dan terbuka untuk bergaul dengan fasilitator dari PPKSUM.
Paling mencuri tumpuan, slot Suatu Hari Nanti Aku Di Sini yang bawa pelajar melawat tempat ikonik seperti Muzium Perubatan dan Halaman Penerbit UM, sekali gus cetus semangat mereka mahu menjejak kaki ke menara gading.
Forum Pandulah Kami Untuk Berjaya pula jadi kemuncak program. Panel terdiri daripada pelajar cemerlang dan alumni UM berkongsi kisah jatuh bangun mereka sehingga berjaya ke universiti.
Kata Presiden PPKSUM, Wan Elliyana Natasha Wan Asrul:
“Until your dream doesn’t remain as a dream — berusahalah sampai impian tu jadi realiti.”
Majlis penutup disempurnakan oleh Exco Kerajaan Pulau Pinang, Fahmi Zainol yang turut menyampaikan sijil penyertaan dan cenderahati kepada semua peserta dan fasilitator.
Fahmi dalam ucapannya menekankan betapa pentingnya sokongan emosi dan mental untuk pelajar yang bakal menghadapi SPM.
“Program seperti ini membantu pelajar untuk memaksa diri sampai ke tahap terbaik. Sokongan dari segi mental, emosi dan spiritual sangat penting dalam fasa getir seperti ini,” katanya.
Pelajar SMK Raja Tun Uda, Muhammad Adam Hakimi Mohd Norazlan wakili rakan-rakannya meluahkan rasa syukur dan teruja.
“Banyak benda baharu kami belajar. Program ini betul-betul membuka mata kami tentang masa depan dan cara nak capai cita-cita.”
Program ini jelas beri impak besar bukan saja bantu pelajar bersedia untuk SPM, tapi juga cetus kesedaran awal tentang pentingnya pendidikan tinggi dalam membina masa depan. — Edisi 9

