Monday, July 20, 2026

‘WorksForMe’ MBSB Bank permudah urusan gaji, galak simpanan

Produk ini menyasarkan golongan celik kewangan yang ingin mengurus pendapatan dan simpanan dengan lebih bijak tanpa kekangan birokrasi.

Mesti Baca

MBSB Bank Bhd melancarkan inisiatif terbaharu dikenali sebagai WorksForMe, satu penawaran akaun gaji yang direka khusus untuk memudahkan urusan kewangan pengguna dari pelbagai latar belakang pekerjaan.

Ditawarkan kepada pekerja bergaji tetap, pekerja sambilan, pekerja gig dan individu berpendapatan sampingan, produk ini menyasarkan golongan celik kewangan yang ingin mengurus pendapatan dan simpanan dengan lebih bijak tanpa kekangan birokrasi.

Ketua Liabiliti dan Proposisi, Perbankan Pengguna Kumpulan MBSB Bank, Soo Bee Teong berkata, WorksForMe diperkenalkan bagi memenuhi keperluan masyarakat masa kini yang mahukan penyelesaian kewangan mudah, fleksibel dan tanpa syarat tersembunyi.

“Kami menjadikannya mudah. Pelanggan hanya perlu mengkreditkan pendapatan ke dalam akaun MBSB Bank untuk menikmati pelbagai ganjaran, manfaat dan fleksibiliti. Tiada syarat keterlaluan. Tiada kerumitan. Hanya nilai sebenar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bee Teong berkata, antara kelebihan utama ditawarkan melalui WorksForMe termasuk pengeluaran ATM percuma di semua mesin MEPS seluruh negara serta buku akaun baharu tanpa keperluan deposit awal, dengan kadar keuntungan kompetitif serta ganjaran tambahan bagi akaun bersama anak.

Selain itu, inisiatif ini juga menawarkan kadar kompetitif untuk produk pembiayaan peribadi, rumah dan kenderaan di samping pelaburan unit amanah dengan caj jualan serendah 1.0 peratus melalui dana berkualiti tinggi dan mudah diakses.

Sementara itu, Ketua Perbankan Pengguna Kumpulan, Usman Ghouse pula berkata, inisiatif itu turut membantu pelanggan mengatasi cabaran ‘bias masa kini’, iaitu kecenderungan mengutamakan perbelanjaan jangka pendek berbanding matlamat kewangan jangka panjang.

“Kami percaya proses menyimpan dan membina kekayaan perlu menjadi mudah dan mesra pengguna.

“WorksForMe adalah bukti komitmen kami memastikan setiap Ringgit yang disimpan, dibelanjakan atau dilaburkan menyumbang kepada masa depan kewangan yang lebih kukuh,” katanya.

WorksForMe kini boleh diakses di semua cawangan MBSB Bank di seluruh negara atau melalui laman rasmi www.mbsbbank.com. — Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan