Sunday, July 19, 2026

Ejen Mossad: Enam NGO desak polis siasat Yusoff Rawther

Kami tampil buat laporan polis kerana kami curiga adakah beliau sebenarnya ejen Mossad yang menyusup masuk ke dalam masyarakat Malaysia - NGO

Mesti Baca

BEBERAPA pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil membuat laporan polis terhadap Muhammed Yusoff Rawther susulan dakwaan dia dikatakan menyokong kewujudan negara Israel, sekali gus menimbulkan syak wasangka kemungkinan bertindak sebagai ejen atau proksi agensi perisikan Israel, Mossad.

Laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi oleh gabungan enam NGO hari ini.

Ahli Sekretariat Nadi Gemilang Amal, Dzul Hilmi Zainol berkata, kenyataan Yusoff pada tahun 2017 yang masih boleh diakses di sebuah portal media Israel disifatkan berbahaya dan bercanggah dengan pendirian rasmi kerajaan Malaysia.

“Kenyataan itu memberi gambaran seolah-olah beliau menyokong Israel dan menolak hak negara Arab ke atas Baitulmaqdis. Ini bukan soal politik, ini soal kedaulatan negara dan keselamatan nasional.

“Kami tampil buat laporan polis kerana kami curiga adakah beliau sebenarnya ejen Mossad yang menyusup masuk ke dalam masyarakat Malaysia? Ini bukan perkara kecil,” katanya pada sidang media di perkarangan IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur.

Muhammed Yusoff didakwa telah mengutuskan satu artikel kepada sebuah portal berita negara haram Zionis itu yang kemudian disiarkan pada 25 Disember dengan tajuk “One Malaysian Standing With Israel.”

Menerusi artikel berkenaan, Yusoff secara terang-terangan menyatakan sokongannya kepada negara Yahudi itu manakala Palestin serta negara Arab lain tidak mempunyai hak ke atas negara tersebut.

Menurut Dzul Hilmi, kenyataan terbuka Yusoff turut membuka ruang terhadap kemungkinan wujudnya jaringan sokongan kepada rejim Zionis dalam kalangan rakyat tempatan.

“Lebih mengejutkan apabila ada pemimpin politik dan peguam tempatan yang membela beliau. Adakah sokongan terhadap Israel kini dianggap perkara biasa?” katanya lagi.

Sementara itu, peguam NGO terbabit, Asheeq Ali Sethi Alivi turut memberi nasihat kepada Yusoff agar tidak menjadi alat kepada kuasa asing.

“Kalau benar yakin dengan apa yang diperjuangkan, berdirilah atas kaki sendiri. Jangan jadi boneka sesiapa, apatah lagi kepada negara yang menindas rakyat Palestin,” katanya.

Keenam-enam NGO berkenaan menegaskan laporan polis yang dibuat bukan untuk memfitnah, sebaliknya demi mempertahankan maruah negara serta sensitiviti rakyat Malaysia yang jelas menolak sebarang bentuk hubungan dengan Israel. – Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan