26.1 C
Kuala Lumpur
Tuesday, October 19, 2021

‘Hagia Sophia Sabah’ kini sunyi sepi akibat PKP

Mesti Baca

Oleh MOHD AZRONE SARABATIN

KOTA KINABALU – Jika di Turki ada Hagia Sophia yang asalnya sebuah gereja kini menjadi masjid, di Sabah ada sebuah gereja yang kini dikenali Masjid USIA Bandar Kota Kinabalu.

Gereja Seventh Day Adventist (SDA) terletak di lereng Bukit Bendera berhampiran pusat bandar raya Kota Kinabalu dijual pihak rumah ibadat itu kepada Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) pada tahun 1974.

Namun, masjid ‘Hagia Sophia Sabah’ itu kini sunyi akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sebarang kegiatan dakwah serta fardu ain dan kifayah ditangguh sementara waktu sehingga dibenarkan semula Jabatan Hal-Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).

Dilaporkan, ia merupakan satu-satunya gereja yang dijadikan masjid bukan sahaja di Malaysia malah di Nusantara.

Hagia Sophia
Pemakluman Masjid Bandar Kota Kinabalu ditutup sementara waktu pada pintu pagar masjid. – Gambar: Mohd Azrone Sarabatin

Berdasarkan laporan Sinar USIA, iaitu lidah rasmi USIA, kali pertama azan berkumandang di masjid yang asalnya sebuah gereja itu adalah waktu maghrib pada 20 Disember 1974 pada hari sama dengan penyerahan kunci gereja itu kepada USIA.

Laporan bertajuk `Cerita pembelian sebuah gereja’ itu disiarkan pada 3 Januari 1975.

Setiausaha Agung USIA ketika itu, Datuk Abdul Hamid Egoh (sekarang Tan Sri) menerima kunci sebagai simbolik pembelian dan penyerahan rumah ibadat itu kepada USIA yang disampaikan wakil gereja SDA, R I Gainer.

Bangunan asal dikekalkan dan pihak USIA hanya merobohkan struktur dalam gereja yang digunakan untuk keagamaan penganut SDA kepada kepada ciri-ciri masjid dan membina menara kubah untuk menonjolkan ciri-ciri masjid.

Baca juga:   Usaha rakyat Malaysia berkesan, UNGA panggil sidang khas
Baca juga:   1,121 aduan majikan halang pekerja kerja dari rumah

“Air mata terasa hendak keluar (menitis) ketika azan kali pertama berkumandang. Semua umat Islam merasa gembira terutama tinggal di bandar Kota Kinabalu kerana dapat menunaikan solat setiap waktu di masjid ,” kata Abdul Hamid mengikut laporan akhbar berkenaan.

masjid sabah
Laporan akhbar mengenai pembelian Gereja SDA oleh USIA. – Gambar: Mohd Azrone Sarabatin

Mengikut laporan Sinar USIA lagi, Abdul Hamid yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri ketika itu adalah tokoh terpenting di sebalik pembelian gereja berkenaan.

Pada satu hari beliau dikunjungi wakil gereja berkenaan untuk menjual tanah seluas 0.56 hektar (1.39 ekar), namun beliau percaya tidak mampu membelinya walaupun pihak terbabit asalnya tersalah sebut RM80,000 sedangkan sepatutnya RM800,000.

Katanya, selepas melawat tapak berkenaan, beliau kemudian mengutuskan memo kepada Ketua Menteri Sabah ketika itu, Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun yang juga Yang Dipertua USIA berhubung penjualan gereja berkenaan.

Selepas menerima memo, Tun Mustapha menghubunginya dan bersetuju membelinya RM1.05 juta dengan alasan sebelum ini ada sebuah masjid di tapak berkenaan, namun runtuh sendiri tanpa dapat dibaiki.

masjid Sabah
Perkataan SDA yang merujuk kepada Seventh Day Adventist masih kelihatan pada bahagian luar Masjid Bandar Kota Kinabalu.- Gambar: Mohd Azrone Sarabatin

Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Masjid USIA Bandar Kota Kinabalu, Damit Tajudin berkata, berdasarkan sejarah, bangunan gereja dikatakan dibina sejak 1930-an dan ketika pembeliannya, strukturnya masih kukuh walaupun berusia lebih 40 tahun.

Katanya, inisiatif pembelian rumah ibadat itu kerana ketika itu belum ada masjid dibina di kawasan bandar yang dapat memudahkan umat Islam khususnya dalam menunaikan solat Jumaat, selain solat lima waktu berjemaah.

Baca juga:   KEMAS Sabah serah kit peralatan bantu usahawan pastri

Beliau berkata, pada awalnya ia dikenali sebagai Masjid SDA mengambil sempena asal-usul bangunan gereja, tetapi dinamakan semula sebagai Masjid USIA Bandar Kota Kinabalu beberapa tahun lalu sejajar fatwa Mufti Sabah bahawa penggunaan nama asal tidak wajar.

Katanya, kebetulan pada masa itu (1970-an) belum ada masjid di kawasan bandar ini kecuali di Sembulan dan Likas yang lokasinya agak jauh menyebabkan USIA membuat keputusan membelinya.

Beliau berkata, awalnya masjid ‘Hagia Sophia Sabah’ itu juga menjadi tempat musafir dari Tawau, Semporna dan Sandakan bermalam ketika ada urusan rasmi di ibu negeri.

Baca juga:   Covid-19: Yayasan Sime Darby sumbang RM1.37j untuk Sabah

“Mengikut Abdul Hamid, penyerahan gereja kepada USIA berlangsung secara aman tanpa ada rusuhan atau halangan daripada penganut SDA. Inilah kelebihan Sabah masyarakat hidup harmoni sejak dulu,” katanya dalam pertemuan di Menara USIA 1Borneo, Sepanggar, di sini.

Hagia Sophia
Penulis (kanan) menemuramah Setiausaha Jawatankuasa Masjid USIA Bandar Kota Kinabalu, Damit Tajudin (kiri) sambil diperhatikan Pegawai Media USIA, Mohd Syum Abdul Majid (tengah) di Menara USIA 1Borneo, Sepanggar, Kota Kinabalu sebelum PKP 3.0. – Gambar USIA

Damit berkata, walaupun bangunan asal tidak berubah sejak lebih 40 tahun lalu, beberapa pengubahsuaian lain khususnya menambah ruangan solat di bahagian belakang masjid dibuat bagi meningkatkan kapasiti jemaah terutama untuk solat Jumaat.

“Sebelum PKP, masjid ini boleh menampung sehingga 2,000 jemaah, iaitu 1,000 di ruangan solat utama dalam bangunan bekas gereja dan 1,000 lagi di ruangan terbuka di belakang masjid,” katanya. – EDISI 9

Terkini

PRN Melaka: UMNO, BN kerjasama dengan pihak lain belum rasmi

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan keputusan muktamad UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk bekerjasama dengan mana-mana...

Lagi Artikel Berkaitan