31 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Sarawak masuk Fasa 2 PPN 14 Julai – Ismail Sabri

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Sarawak akan memasuki Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa mulai 14 Julai ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu dibentangkan dalam sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

“Setelah semua agensi terlibat termasuk Kementerian Kesihatan meneliti nilai-nilai ambang negeri ini, sidang khas MKN bersetuju untuk membuat peralihan fasa bagi negeri Sarawak daripada Fasa 1 ke Fasa 2 berdasarkan pencapaian nilai ambang tiga indikator utama yang telah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pak Long Mail Sarawak Fasa 2
Ismail Sabri Yaakob

Maklumat lanjut mengenai semua kebenaran yang telah ditetapkan bagi Fasa 2 boleh dirujuk dalak laman sesawang MKN di www.mkn.gov.my.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menambah, sidang khas MKN turut bersetuju untuk memberi kebenaran kepada semua cawangan pusat perkhidmatan pelanggan syarikat telekomunikasi yang terletak di dalam pusat beli-belah serta pasar raya besar untuk beroperasi sepanjang PPN berkuat kuasa mulai 13 Julai 2021.

Berhubung tindakan penguatkuasaan, Ismail Sabri berkata, sebanyak 17 premis meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarahkan tutup semalam kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

“Semalam Pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah melaksanakan 78,975 pemeriksaan dan snap check COVID-19 di seluruh negara dengan jumlah kekuatan anggota seramai 19,477 orang.

“Ia termasuk pemeriksaan ke atas 2,087 buah kilang, 16,086 premis perniagaan, 625 tapak pembinaan dan 449 buah asrama penempatan pekerja,” jelasnya.

Beliau menambah, seramai 514 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, seramai 503 individu dikompaun manakala 11 lagi direman.

Advertisements

“Antara kesalahan direkodkan adalah rentas negeri/ daerah tanpa kebenaran/ makan/ minum di premis (126), tiada penjarakan fizikal (104), individu gagal mendaftar masuk premis (69), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (58), membawa penumpang berlebihan (56), tidak memakai pelitup muka (55), premis gagal patuhi arahan (13) dan lain-lain (33),” katanya.

Berhubung Op Benteng semalam, Ismail Sabri berkata, pasukan keselamatan telah merampas tiga kenderaan darat serta menegsan 13 bot atau kapal di perairan negara melalui 14 aktiviti penglihatan.

Beliau turut mengumumkan pelaksanaan PKP Diperketatkan (PKPD) di 14 lokaliti seluruh negara mulai 14 hingga 27 Julai ini.

Antara lokaliti terbabit adalah Felda Lembah Klau, Mukim Gali, Raub, Pahang; Kampung Kendaie dan Kampung Bukit Batu, Lundu, Kuching, Sarawak; Felda Maokil, Muar, Johor serta Taman Muhibbah Fasa 1,2 dan 3, Beaufort, Sabah.

Enam lokaliti terletak di kawasan sekitar Kampung Patikang Ulu, Keningau, Sabah iaitu Kampung Patikang Ulu, Kilang dan Kuarters Focus Lumber, Kilang dan Kuarters Veracity, Kilang dan Kuarters Hasil Jadi, Pusat Memandu IDA dan Penempatan warga Indonesia.

Dua lokaliti di Penampang, Sabah iaitu Kampung Madsiang dan Apartment Beverly Hills Fasa 2 serta satu lagi lokaliti di Kampung Kobusak, Penampang, Sabah.

Sementara itu, PKPD di CLQ Gamuda Garden, Kundang Jaya, Rawang, Selangor dilanjutkan mulai 14 hingga 19 Julai manakala di Flat Taman Benus Jaya, Bentong, Pahang mulai 14 hingga 27 Julai.

PKPD akan ditamatkan pada 13 Julai di 10 lokaliti termasuk Taman Murni, Sepang, Selangor; Pangsapuri Sri Ayu, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi, Hulu Langat, Selangor; CLQ Johan Setia, Kampung Johan Setia, Klang, Selangor; Kampung Tematu, Jalan Batu Kitang, Kuching, Sarawak dan Kampung Linukaan, Kota Marudu, Sabah.

Lokaliti-lokaliti lain adalah Kampung Perpaduan Gumpa, Kampung Perpaduan 2 dan Kampung Timbagaan, Matunggong di Kudat, Sabah; Rumah Pekerja Ladang Sungai Balung, Tawau, Sabah dan Kuarters Kilang Bata Kampung Durok, Kampung Limbawan Sayur, Keningau, Sabah. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Tak boleh tolak permohonan pelanggan tidak fasih bahasa Melayu

PARA pegawai Jabatan Imigresen Malaysia tidak dibenarkan menolak sebarang permohonan hanya kerana pelanggan gagal menguasai bahasa kebangsaan. Bagaimanapun, menurut Ketua...

Lagi Artikel Berkaitan