27.9 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Komen jelik hina TMJ, pembantu gerai ditahan polis

Mesti Baca

JOHOR BAHRU – Gara-gara memuat naik 12 rakaman video memaparkan komen jelik dan menghina Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, seorang pembantu gerai ditahan polis semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, suspek yang berumur 31 tahun itu ditangkap di rumahnya di Ayer Hitam, Batu Pahat kira-kira pukul 9.30 malam tadi.

Menurut beliau, lelaki terbabit dikesan berbuat demikian melalui akaun Instagram ‘amirul_naito’.

“Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor berjaya mengesan dan menahan suspek di rumahnya di Ayer Hitam, Batu Pahat, malam tadi.

“Permohonan reman dibuat hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat ke atas suspek,” katanya dalam sidang media yang disiarkan melalui laman Facebook Polis Johor hari ini.

Ayob Khan Mydin Pitchay dalam sidang media di IPK Johor, hari ini. – Gambar: Facebook Polis Johor

Ayob Khan turut mengesahkan sebanyak 10 laporan polis diterima terhadap suspek.

Beliau menambah, siasatan awal mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes jenayah di bawah Seksyen 506 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

“Siasatan akan dibuat terhadap motif suspek memuat naik video dengan kata amat jelik serta menghina TMJ,” jelasnya.

Advertisements

Ayob Khan berkata, polis turut merampas sebuah telefon pintar, pakaian suspek dan senaskhah al-Quran.

Beliau memberitahu, suspek telah direman selama empat hari mulai hari ini hingga 15 Julai.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang tiga tahun dan tidak lebih tujuh tahun,” katanya.

Ayob Khan berkata, suspek juga disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman sehingga lima tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Dia turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM50,000 dan penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya menggunakan media sosial dengan sebaik-baiknya dan tidak menggunakannya dengan perkara-perkara yang memudaratkan serta boleh menimbulkan ketegangan dalam kalangan masyarakat.

“Polis Johor juga akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang tindakan, kelakuan atau media sosial yang tular melibatkan komen-komen jelik ini,” ujarnya. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan