29.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

4 ADUN Bersatu Johor bersedia tarik sokongan

Mesti Baca

PASIR GUDANG – Kerajaan negeri Johor mungkin bertukar sekiranya empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menarik sokongan mereka.

ADUN Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh berkata, tindakan itu akan dilakukan sekiranya UMNO masih mendesak kerajaan Persekutuan yang diketuai Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ditukar.

Menurut beliau, mereka bersedia menarik sokongan pada bila-bila masa sekali gus mengakibatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) Johor runtuh.

“Kami ingatkan UMNO supaya berhenti bermain politik. Sekiranya kerajaan Pusat bertukar maka kerajaan negeri di Johor juga akan bertukar.

“Bukan sahaja empat tetapi enam ADUN Bersatu atau lebih lagi bersedia menarik sokongan (terhadap kerajaan PN Johor). Jadi jangan main-main atau cuba berbuat sesuka hati semata-mata mahu berkuasa.

“Jangan gunakan alasan konon semuanya dilakukan untuk rakyat tetapi sebenarnya kerana kepentingan diri dan tamak kuasa. Kalau benar-benar berjuang untuk rakyat berhentilah berpolitik, tumpu dan selesaikan isu rakyat,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian, hari ini.

Che Zakaria mengulas desas-desus terdapat gerakan beberapa pemimpin UMNO yang masih mencari jalan mahu menubuhkan kerajaan baharu walaupun jawatan Timbalan Perdana Menteri sudah diberikan kepada parti itu.

Kerajaan PN Johor pimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad ketika ini mempunyai 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala Pakatan Harapan (PH) 27 kerusi.

Jika seorang ADUN menarik sokongan daripada PN akan menjadikan kerusi DUN PN dan PH masing-masing 28 kerusi sekali gus DUN Johor akan tergantung atau dibubarkan.

Che Zakaria juga mengingatkan UMNO supaya tidak terus mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.

Beliau berpendapat, desakan dibuat beberapa pemimpin UMNO yang mempunyai agenda sendiri dan tidak mewakili keseluruhan parti itu.

Pada 8 Julai lalu, UMNO mengumumkan menarik balik dan menamatkan sokongan terhadap Muhyiddin dengan serta-merta.

Pengumuman itu dibuat oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam sidang media secara maya selepas mesyuarat Majlis Tertinggi parti.

UMNO turut mendesak Muhyiddin berundur secara terhormat bagi membolehkan seorang Perdana Menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad. – EDISI 9

Terkini

Veto AS ke atas Palestin: Pengkhianatan terhadap keadilan

Oleh AZRIL MOHD AMIN DALAM tindakan terbaharu kedegilan diplomatik, Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa vetonya untuk menggagalkan resolusi yang mahu...

Lagi Artikel Berkaitan