36 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Bank Negara teraju promosi e-pembayaran seluruh negara

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

PUTRAJAYA – Bank Negara Malaysia (BNM) di bawah Kluster Masyarakat MyDIGITAL akan menerajui usaha mempromosi penggunaan e-pembayaran dalam kalangan pengguna dan peniaga bagi merancakkan transaksi digital yang mudah dan selamat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pada tahun 2020, transaksi e-pembayaran per kapita adalah 170 dan dijangka meningkat kepada 400 menjelang tahun 2022.

Menurut beliau, perkembangan itu berikutan langkah-langkah bagi meningkatkan kesedaran dan kemudahan infrastruktur yang dilaksanakan secara berterusan.

“Kempen Hari Tanpa Tunai akan diadakan manakala sistem bayaran dengan aplikasi di terminal stesen minyak akan diperluas.

“Inisiatif ini sejajar dengan hasrat mewujudkan transaksi tanpa tunai untuk semua perkhidmatan kerajaan menjelang 2022,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas mesyuarat ketiga Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi sidang video, hari ini.

Mustapa menambah, Kumpulan Kerja Peraturan dan Undang-Undang MyDIGITAL telah mencadangkan penggubalan undang-undang baharu dan meminda beberapa peraturan sedia ada.

Beliau memberitahu, cadangan itu bagi mewujudkan suasana kondusif dalam membantu perkembangan pendigitalan.

“Ia termasuklah tatacara perkongsian data awam untuk menyokong operasi pelbagai aplikasi digital dan membantu kerajaan membuat keputusan tepat berdasarkan analitik data.

“Cadangan ini telah dipersetujui secara prinsip dan kajian implikasi akan dilaksana oleh Kluster Kerajaan yang diterajui oleh Ketua Setiausaha Negara.

“Antara inisiatif lain yang diberi perhatian adalah memperkenalkan Identiti Digital Nasional dan Tandatangan Digital,” jelasnya.

Mustapa berkata, mesyuarat juga mengambil maklum penyelarasan semua strategi dan inisiatif yang dilakukan oleh Pejabat Pengurusan Perubahan Strategik (SCMO) di bawah Unit Perancang Ekonomi (EPU) untuk mengharmonikan pelaksanaan tiga pelan tindakan berkaitan pembangunan digital negara iaitu, Rangka Kerja Ekonomi Digital Malaysia, Dasar 4IR Negara dan Rancangan Malaysia Ke-12.

Sementara itu dalam perutusan pembukaannya, Perdana Menteri menekankan tentang kepentingan menggunakan pendekatan keseluruhan negara bagi mempercepatkan agenda pendigitalan dan penerokaan teknologi sebagaimana yang terkandung dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan Dasar 4IR Negara.

Beliau berkata, pendekatan itu memerlukan kerjasama rapat antara kerajaan, industri dan rakyat untuk bergerak secara serentak dan saling melengkapi untuk mencapai kemakmuran bersama.

Katanya, ketangkasan transformasi digital secara menyeluruh serta penciptaan dan penerimagunaan teknologi boleh menjadi pemangkin kepada pemulihan ekonomi negara. – EDISI 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan