28.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

FATCA perkukuh hubungan percukaian Malaysia-AS

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

PUTRAJAYA – Perjanjian pelaksanaan Akta Pematuhan Cukai Akaun Asing (FATCA) yang dimeterai antara kerajaan Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) semalam berupaya memperkukuhkan hubungan percukaian dua hala antara kedua-dua negara.

Perjanjian antara kerajaan tersebut telah ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Asri Hamidon dan Duta Besar AS ke Malaysia, Brian McFeeters.

Majlis menandatangani perjanjian FATCA itu berlangsung secara serentak di Putrajaya dan Kuala Lumpur, dengan kehadiran Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah.

FATCA
Mohd Shahar Abdullah menyaksikan majlis menandatangani perjanjian FATCA secara maya, semalam. – Gambar: Kementerian Kewangan

“Pemuktamadan perjanjian ini menunjukkan hubungan erat yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.

“Menerusi perjanjian ini, Malaysia menyertai 113 negara yang telah melaksanakan FATCA,” kata Kementerian Kewangan dalam kenyataan media berhubung perjanjian tersebut, hari ini.

FATCA merupakan salah satu inisiatif yang diperkenalkan oleh AS bagi menambah baik amalan pertukaran maklumat berkaitan percukaian, khususnya yang melibatkan warga AS.

Dalam konteks Malaysia pula, inisiatif ini merupakan pelengkap kepada usaha yang dilakukan menerusi penyertaan di forum antarabangsa yang diterajui oleh Pertubuhan Pembangunan dan Kerjasama Ekonomi (OECD) untuk terus meningkatkan ketelusan percukaian berdasarkan amalan terbaik.

Pelaksanaan FATCA merupakan kejayaan daripada hasil siri perbincangan antara kedua-dua negara, berdasarkan keperluan untuk mempunyai mekanisme yang lebih efektif bagi memudahkan pertukaran maklumat.

Sementara itu dalam ucapannya, Mohd Shahar menekankan bahawa selaras dengan perkembangan terkini sistem percukaian antarabangsa, penambahbaikan dalam ketelusan dan amalan pertukaran maklumat cukai antara negara memerlukan kerjasama yang lebih meluas, terutamanya dalam menangani isu pengelakan cukai dan pelarian cukai.

Dalam pada itu, McFeeters dalam ucapan balas menyatakan bahawa pemuktamadan FATCA merupakan antara detik bersejarah dalam hubungan dua hala Malaysia-AS.

Beliau juga menghargai usaha yang telah dilakukan oleh institusi perbankan Malaysia berhubung aspek pematuhan yang menunjukkan kecemerlangan mereka selaku institusi bertaraf dunia.

Perjanjian FATCA juga adalah sangat penting ke arah usaha Malaysia untuk mengadakan perjanjian percukaian secara bilateral yang lebih komprehensif dan akan memberi manfaat kepada pembayar cukai Malaysia dan AS. – EDISI 9

Terkini

Siti Hajar, pendiam tapi aktif dalam aktiviti kemasyarakatan

BERBEZA dengan mahasiswa lain yang aktif di kampus, gadis ini sering dianggap pendiam, walaupun banyak menyertai malah turut berpeluang...

Lagi Artikel Berkaitan