28.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Kawal selia BNM ke atas TH sehingga RCI selesai – MOF

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

CYBERJAYA – Pengawalseliaan Lembaga Tabung Haji (TH) di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) hanya solusi interim yang tidak mengubah sifat asal institusi itu sebagai agensi unggul dalam pengurusan jemaah haji.

Kementerian Kewangan (MOF) berkata, TH tetap kekal melaksanakan fungsinya sebagaimana termaktub di bawah Akta Tabung Haji 1995 [Akta 535].

MOF berkata, hal ehwal haji masih kekal di bawah tanggungjawab Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) manakala Lembaga Pengarah dan badan pengurusan TH tetap mempunyai tanggungjawab utama menentukan hala tuju TH, serta pengurusan dan operasi haji.

“Kawal selia TH dari sudut pengambilan deposit, serta pengurusan risiko dan kecairan oleh BNM ini adalah satu solusi interim yang akan dilaksanakan sehingga dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dibentangkan untuk pertimbangan kerajaan selanjutnya,” kata kementerian itu dalam kenyataan hari ini.

MOF berkata, memandangkan TH menerima deposit daripada bakal jemaah haji dan orang ramai, dan kerajaan tetap menjamin wang simpanan pendeposit dalam TH di bawah Akta 535, maka amat wajar simpanan pendeposit tersebut dikawal selia dengan lebih baik.

Kawal selia BNM ke atas TH bagi memastikan tadbir urusnya dijalankan dengan baik. – Gambar hiasan

Katanya, ini bagi memastikan bakal jemaah haji dapat mengerjakan Rukun Islam kelima, dan TH dapat terus menjana pendapatan menerusi pelaburan yang patuh syariah.

Penambahbaikan kawal selia TH, kata MOF, selaras dengan hasrat kerajaan agar TH kembali kepada mandat asal penubuhannya iaitu menguruskan simpanan pendeposit untuk tujuan menunaikan haji, di samping simpanan untuk pelaburan.

“TH merupakan sebuah institusi kewangan yang dianggap penting kepada sistem kewangan Malaysia, berikutan jumlah depositnya yang kini mencecah RM82 bilion dan saling hubung yang rapat dengan sistem kewangan, terutamanya sebagai pemegang saham terbesar Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam).

“Penetapan kawal selia di bawah BNM yang masih berlandaskan konsep syariah akan memantapkan tadbir urus dan memastikan tiada penyalahgunaan dana yang boleh memaksa kerajaan menggantikan wang pendeposit disebabkan jaminan kerajaan,” jelas MOF.

Kenyataan itu berkata, sebagai institusi berkait rapat dengan sistem kewangan negara dan mempunyai kepentingan sistemik, kerajaan perlu memastikan kedudukan kewangan TH terus diperbaiki dan diperkukuh.

Sehubungan itu, MOF berkata, deposit mencecah RM82 bilion tersebut — 10 peratus daripada jumlah deposit sistem perbankan Islam negara — perlu ditadbir dengan baik berteraskan konsep semak dan imbang.

“Ini kerana sebahagian daripada deposit yang diterima tersebut diletakkan di institusi perbankan Islam. Pengeluaran deposit secara mendadak berupaya mencetuskan masalah kecairan bagi institusi perbankan Islam dan pergolakan ke atas sistem kewangan Islam Malaysia,” jelas kenyataan itu.

Menurut MOF, pihaknya sedia maklum perbezaan mandat dan peranan TH berbanding institusi perbankan yang lain.

Justeru, katanya, MOF menegaskan bahawa skop pengawalseliaan BNM pada waktu ini, sementara menunggu selesainya RCI, adalah tertumpu hanya kepada pengambilan deposit, serta pengurusan risiko dan kecairan, dengan rangka kerja pengawalseliaan yang berbeza dari peraturan am yang dipatuhi oleh institusi perbankan lain.

Kenyataan itu menyebut, BNM mempunyai Majlis Penasihat Syariah yang dianggotai oleh para cendekiawan syariah dan individu yang berpengetahuan, berpengalaman dan turut diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Dengan memanfaatkan kepakaran majlis ini, persepsi berhubung konsep riba bagi meraih pulangan yang terbaik dari pelbagai pelaburan untuk manfaat pendeposit, tidak akan timbul sama sekali.

“Kesemua usaha ini adalah bertujuan untuk terus melindungi hak-hak pendeposit dan memastikan segala pelaburan yang dibuat oleh TH adalah berlandaskan prinsip syariah,” kata kenyataan itu.

MOF memaklumkan bahawa kawal selia sesebuah institusi yang strategik dan menyentuh hak rakyat adalah penting atas prinsip semak dan imbang, serta tadbir urus yang berhemah, selaras dengan ketetapan oleh Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah.

Katanya, prinsip tersebut telah diguna pakai secara meluas sebelum ini untuk Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat) yang mana kedua-duanya mempunyai akta tubuh masing-masing.

Di samping itu, anak syarikat TH sendiri iaitu Bank Islam yang kesemuanya masih di bawah kawal selia BNM berdasarkan kepentingan sistemik mereka.

“Solusi interim ini adalah penting untuk melindungi hak dan kepentingan
pendeposit sepenuhnya sementara menunggu dapatan RCI dibentangkan,” kata MOF. – Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan