27.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Belum ada temu janji vaksin remaja 17 tahun ke bawah – CITF

Mesti Baca

CYBERJAYA – Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) menjelaskan, buat masa sekarang tiada janji temu diberikan kepada mereka yang berusia 12 hingga 17 tahun walaupun pendaftaran bagi kumpulan ini sudah diterima oleh sistem MySejahtera.

Dalam kenyataan hari ini CITF berkata,  sistem MySejahtera akan terus menerima pendaftaran vaksinasi untuk golongan remaja supaya ia boleh digunakan pada masa depan apabila sebarang keputusan dibuat berkenaan perkara tersebut.

‘’Ketika ini, keutamaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) adalah kepada usaha untuk melengkapkan Fasa 2 dan memantapkan pelaksanaan Fasa 3 di seluruh negara termasuk Operasi Lonjakan Kapasiti di Lembah Klang, berikutan peningkatan kes harian di kawasan pusat penularan pandemik Covid-19,’’ kata kenyataan itu.

CITF memaklumkan, buat masa ini kerajaan juga telah bersetuju untuk tidak memberikan vaksin Covid-19 kepada remaja berusia 17 tahun ke bawah termasuk calon Sijil Pelajaran Malaysia bagi mengelakkan sebarang risiko kes myocarditis dan pericarditis (radang jantung) selepas individu remaja mengambil dos kedua suntikan vaksin Covid-19 seperti kajian di Amerika Syarikat.

‘’Namun begitu, bagi pelajar tahun peperiksaan yang telah mencapai usia 18 tahun contohnya calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia dan Sijil Tinggi Agama Malaysia, termasuk yang akan memasuki usia 18 tahun pada tahun ini, vaksinasi Covid-19 akan diteruskan mengikut penjadualan dan janji temu yang telah ditetapkan,’’ kata CITF.

Selain itu, CITF menjelaskan, usaha sedang dilakukan untuk mempergiatkan vaksinasi dalam kalangan guru, kakitangan sekolah dan staf sokongan sekolah sebagai persediaan pembukaan sekolah kelak. 

‘’Pelaksanaan ini dipantau secara bersama oleh Pejabat Pendidikan dan Jabatan Kesihatan di peringkat negeri serta daerah. Pada masa ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga sedang memuktamadkan garis panduan klinikal pemberian vaksin Pfizer kepada kumpulan remaja yang mempunyai masalah kesihatan kronik dan berisiko tinggi dijangkiti Covid-19.

‘’CITF akan membuat makluman lanjut selepas tarikh pelaksanaan vaksinasi bagi golongan ini diputuskan kelak,’’ kata pasukan petugas khas tersebut. – Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan