Oleh DR ARIYANTI MUSTAPHA
DINAMISME berfesyen dalam kalangan wanita sering mengalami perubahan sejajar dengan perkembangan zaman, masa, dan teknologi yang sentiasa berkembang.
Perkembangan dalam berfesyen pada hari ini bukan sahaja diminati oleh golongan berkerjaya dan remaja, tetapi juga oleh perkembangan dalam penggunaan media sosial dan TikTok yang telah membawa pengaruh besar kepada dunia fesyen dalam kalangan remaja.
Interaksi sosial dari pelbagai budaya, agama, dan cara hidup melalui perkembangan media sosial telah membawa paradigma dalam perubahan fesyen dan minat dalam kalangan remaja.
Penulisan kali ini akan mengupas trend remaja pada masa kini yang sangat meminati watak-watak animasi dalam manga Jepun yang diterjemahkan melalui pemakaian baju yang dinamakan sebagai ‘Cosplay’.
Perkataan ‘Cosplay’ merupakan singkatan daripada perkataan “costume play” dalam bahasa Inggeris atau Kosupure dalam bahasa Jepun yang diperagakan dengan pelbagai jenis pakaian yang menggambarkan watak-watak yang diilhamkan daripada Manga (Komik Jepun), anime (animasi kartun), tokusatsu (rancangan televisyen), dan permainan video yang berbentuk sains fiksyen.
Cosplay secara umumnya bermula sekitar tahun 1970-an apabila pemilik amatur majalah atau manga menganjurkan penjualan manga di pusat pameran dengan kehadiran karakter-karakter yang diilhamkan daripada watak dalam manga dengan pelbagai jenis pakaian untuk menarik perhatian orang ramai.
Bermula daripada tahun 1990-an, peragaan pakaian Cosplay telah mula menular ke beberapa negara Asia seperti Hong Kong, Taiwan, China, Indonesia, dan Malaysia.
Kini, pemakaian fesyen Cosplay dengan membawa karakter-karakter popular seperti Gekiga (Ninja Bugeicho), Shonen (Dragon Ball), dan Shojo (Sailor Moon) telah mula menarik perhatian remaja perempuan, khususnya dalam kalangan remaja Islam.
Faktor minat, ekspresi keyakinan diri, dan pengaruh daripada persekitaran serta media sosial menjadikan pemakaian Cosplay turut diminati dalam kalangan remaja perempuan, khususnya di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Selangor.
Pemakaian Cosplay dalam kalangan remaja perempuan Islam pada kebiasaannya akan disertakan dengan solekan yang tebal serta hijab yang digayakan seperti dandanan rambut dan pemilihan pakaian mengikut karakter yang diminati.
Ada kalanya pemilihan pakaian terlalu ketat sehingga menampakkan susuk badan dan tidak menutup aurat secara sempurna.
Peminat-peminat anime pada kebiasaannya akan berkumpul dalam sesebuah acara yang dihadiri oleh ribuan peminat karakter anime dengan solekan dan pakaian yang pelbagai mengikut karakter yang digemari.
Cosplay Dari Perspektif Hukum Islam
Hukum Islam adalah sangat dinamik dan sentiasa menerima perubahan akibat perkembangan zaman, masa, dan keadaan.
Hukum Islam sangat bersifat menyeluruh dalam menilai setiap perlakuan umat Islam agar sentiasa selari dengan prinsip asas yang telah ditetapkan dalam hukum Islam.
Malah, dalam konteks berfesyen, hukum Islam tidak meletakkan kod pemakaian yang khusus kepada seluruh umat Islam, bahkan Islam memberi kelonggaran kepada umatnya untuk memilih fesyen yang diminati dan digemari sebagai meraikan fitrah manusia yang sukakan kecantikan.
Akan tetapi, hukum Islam telah meletakkan garis panduan yang lengkap terhadap pemilihan fesyen agar matlamat asal untuk menutup aurat adalah bersifat patuh syariah.
Pematuhan syariah merupakan satu sistem yang merujuk kepada pematuhan terhadap peraturan yang terdapat dengan jelas di dalam al-Quran, Sunnah, dan prinsip-prinsip lain dalam hukum Islam.
Dalam konteks pemakaian pakaian Cosplay, terutama dalam kalangan remaja perempuan Islam, fesyen yang diperagakan perlu memenuhi kriteria seperti pakaian yang diperagakan bersifat longgar, fabrik pakaian tidak menampakkan warna kulit, dan fesyen yang diperagakan mesti menutupi seluruh tubuh badan serta tidak ketat.
Piawaian pemakaian dalam fesyen yang diperagakan adakalanya tidak menepati hukum Islam kerana terlalu obses dengan fesyen yang menjadi trending dalam kalangan peminat fesyen.
Situasi yang berlaku dalam kalangan remaja pada hari ini dapat diistilahkan sebagai al-tasyabbuh.
Maksud al-Tasyabbuh dari segi istilah sebagaimana yang didefinisikan oleh Imam al-Ghazali adalah, “usaha manusia untuk menyerupakan dirinya dengan sesuatu yang diinginkan agar serupa dengan sesuatu tersebut, sama ada dalam tingkah laku, pakaian, atau sifat-sifatnya.”
Manakala definisi lain terhadap al-Tasyabbuh adalah, “penyerupaan orang Muslim terhadap orang kafir pada sesuatu perkara yang tidak termasuk dalam kategori maslahah yang mutabar (manfaat yang jelas faedahnya kepada manusia berdasarkan nas-nas syara’).”
Justeru, penggayaan fesyen Cosplay dalam kalangan remaja perempuan Islam adalah tidak menepati hukum Islam dan tidak membawa sebarang manfaat kepada individu tersebut, bahkan ia membuka ruang kepada kemudharatan dari aspek jenayah seksual dan kemaksiatan dalam kalangan remaja.
Pemilihan fesyen walaupun bersifat trending dan minat yang mendalam, perlu diperhalusi agar pemakaian tersebut tidak menampakkan susuk badan, bersolekan secara berlebihan (tabarruj), dan seterusnya boleh menjerumus ke arah kemaksiatan.
Penulis ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di [email protected]