31.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Ahli UMNO minta polis siasat pengakuan Ahmad Zahid

Mesti Baca

NILAI – Seorang individu yang mendakwa dirinya ahli UMNO membuat laporan terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini berhubung pengakuan tentang rakaman perbualan telefon dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tular.

Dia yang enggan identitinya dikenali berbuat demikian kira-kira pukul 11 pagi tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai.

Ahli UMNO terbabit meminta polis menyiasat kenyataan Ahmad Zahid sebelum ini yang menafikan penglibatan dirinya dalam rakaman audio yang tular selepas Perhimpunan Agung UMNO 2020.

“Kenyataannya itu telah menimbulkan kekeliruan kepada ahli UMNO seperti saya dan membuatkan saya rasa tertipu dengan beliau,” katanya.

Laporan polis itu dibuat berikutan laporan media berhubung pengakuan Ahmad Zahid yang didakwa diucapkannya dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO kelmarin.

Dia juga meminta polis menyiasat sama ada Ahmad Zahid telah melakukan penipuan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Ini kerana sejak terdedahnya artikel tersebut, tidak terdapat tanda-tanda bahawa apa yang didakwanya seperti di dalam verbatim akan menjadi kenyataan,” jelasnya.

Ahli UMNO berkenaan turut meminta siasatan dilakukan berhubung dakwaan Ahmad Zahid telah melakukan kesalahan dengan melibatkan diri dalam konspirasi menjatuhkan kerajaan serta menggugat keamanan dalam kalangan rakyat.

Memetik laporan Astro Awani semalam, sumber Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mendedahkan, Ahmad Zahid membuat pengakuan itu semasa pertemuan yang berlangsung selama lebih dua jam di Wisma Perwira, Kementerian Pertahanan pada malam Isnin.

“Selain keputusan mesyuarat yang menolak cadangan menarik semula sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN), beliau (Ahmad Zahid) mengaku kepada semua itu suaranya dalam perbualan bersama Anwar yang viral tidak lama dahulu selain telah menandatangani surat akuan bersumpah (SD) menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri,” kata sumber itu kepada Astro Awani.

Mesyuarat tertutup antara Ahmad Zahid dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama beberapa pemimpin tertinggi termasuk Datuk Seri Najib Razak berakhir sehingga tengah malam Isnin.

Difahamkan, Ahmad Zahid akan membawa cadangan yang sama kepada MKT selepas majoriti Ahli Parlimen UMNO menolaknya dan menyokong kerajaan PN sehingga Parlimen dibubarkan.

Isu rakaman audio itu menjadi perhatian pada awal April lalu, rakaman tersebut didakwa melibatkan Ahmad Zahid dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – EDISI 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan