27.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Citra ‘dropshipper’ di tengah laut Semporna

Mesti Baca

Oleh MOHD AZRONE SARABATIN

SEMPORNA – Bidang dropship atau e-dagang sememangnya sistem perniagaan yang sangat popular bukan saja di negara kita, malah seluruh dunia dan tidak perlu lagi diperkenalkan.

Bagaimanapun, sistem ‘dropship’ yang penulis ketengahkan adalah perniagaan di tengah laut dengan ‘dropshipper’ atau ejen hanya bergerak dari resort ke resort atau rumah penduduk setempat, sama ada atas air atau di darat selepas mengambil `barang’ dari kelong tanpa menggunakan alat komunikasi seperti telefon pintar dan komputer riba.

Sistem ‘dropship’ yang digunakan, ambil dulu bekalan di kelong, kemudian bayar iaitu selepas menjual makanan laut masih hidup dan segar kepada pelanggan.

Semporna
Antara spesies ikan yangdijual di perairan Semporna menggunakan kaedahb ‘dropship’. – Gambar: Mohd Azrone Sarabatin

Ada juga etnik itu termasuk kanak-kanak berperahu menjual kelapa muda yang diperoleh daripada penduduk setempat kepada pelancong di resort atau lokasi menyelam.

Harga produk dijual bergantung kepada spesies, misalnya lobster atau udang kara bersaiz besar yang berharga RM50 seekor, dijual RM60 mengambil kira kesukaran mengendalikan sampan yang hanya menggunakan pendayung ke kawasan kelong di tengah laut, selain risiko angin kencang, hujan lebat dan laut bergelora.

Yuma Lente, 46, seorang etnik Pala’u yang masih tinggal dalam perahu bersama isteri dan empat anaknya adalah antara ‘dropshipper’ yang gigih mendayung sampan sehingga 2 batu nautika ke kawasan kelong dan kemudian ke resort sekitar Pulau Mabul di tengah Laut Sulawesi dalam perairan Semporna.

Semporna
Udang yang dijual ‘dropshipper’ di sebuah resort di Pulau Mabul. – Gambar: Mohd Azrone Sarabatin

Beliau bersama lebih 20 etnik berkenaan menjadi ‘dropshipper’ yang mendapatkan bekalan ikan, udang dan ketam segar daripada pengusaha kelong yang majoritinya bukan bumiputera dan akan membayarnya kemudian hasil jualan kepada pelancong dan masyarakat setempat.

Yuma, ayah kepada empat anak mengakui ekonomi keluarganya sangat terkesan dengan perintah kawalan pergerakan (PKP) berikutan COVID-19.

“Belilah ikan, udang dan ketam ni ‘danakan’ (saudara), saya tiada pendapatan lain selain menjadi ‘dropshipper’ kepada tauke kelong.

“Kalau tiada orang beli rugilah saya dan tiada ‘pilak’ (duit) bikin beli makanan anak dan isteri,” kata Yuma ketika ditemui di Kampung Musu, Pulau Mabul ketika naik ke darat menjual ikan dan udang yang dibelinya daripada pengusaha kelong di perairan Semporna.

dropship
Penulis menyelami kehidupan anak etnik Pala’u yang datang ke sebuah resort di Pulau Mabul menjual kelapa. – Gambar: Mohd Azrone Sarabatin

Yuma dan isterinya, dikenali Sannah, 36, tinggal dalam perahu bersama empat anak mereka iaitu, Sapirah, Angina, Balente dan seorang baru lahir dan belum diberi nama, berusia dua bulan hingga 11 tahun.

Katanya, jika dulu ramai pelancong asing dan domestik melancong ke Pulau Mabul dan pulau-pulau di sekitarnya seperti Pulau Kappalai, Mataking dan Sibuan, kini tiada lagi dan mereka terpaksa menjual ikan kepada penduduk tempatan yang kebanyakannya gemar menawarkan harga minimum sehingga mereka hanya cukup-cukup balik modal.

Beliau berkata, pelancong terutama dari Korea Selatan, Jepun dan China amat menggemari makanan laut segar Semporna dan akan membelinya untuk dimakan di resort di pulau berkenaan kerana kebanyakan resort menyediakan perkhidmatan memasak makanan laut dibeli daripada mereka.

Semporna
Penulis menyelami kehidupan keluarga Yuma Lente yang masih hidup nomad dalam perahu di perairan Semporna sebelum PKP. – Gambar: Mohd Azrone Sarabatin

“Namun kini, kami kehilangan pendapatan menjadi ‘dropshipper ’, kerana tidak dibenarkan bergerak bebas di laut kesan PKP.

“Sebelum PKP (kali pertama Mac tahun lalu), walaupun perintah berkurung dikuatkuasakan di pulau-pulau di Semporna sejak 16 Julai 2014 bagi mengekang jenayah rentas sempadan, penculikan dan pencerobohan, namun sektor pelancongan masih dibuka dan ia tidak menjejaskan pendapatan kami,” katanya.
.
Yuma berkata, etnik Pala’u sepertinya akan memastikan membayar semula bekalan makanan laut yang diperoleh daripada tauke kelong bagi memastikan mereka mempunyai pekerjaan dan sumber pendapatan jangka panjang.

Semporna
Perahu yang menjadi rumah etnik Pala’u di perairan Semporna berlabuh di Kampung Bangau-Bangau, dekat pekan Semporna berikutan PKP 3.0. – Gambar: Mohd Azrone Sarabatin

Katanya, jika ikan dan udang dibekalkan bersaiz kecil, mereka akan peliharanya beberapa minggu supaya membesar dan harganya mahal sikit, namun terpaksa menanggung risiko sekiranya makanan laut itu mati atau terlepas dari perahu yang mereka jadikan sangkar.

Jika ikan dibeli mati, mereka terpaksa keringkan untuk dijadikan ikan masin dan harganya jauh lebih murah.

“Ramai pelancong beranggapan makanan laut berkenaan termasuk lobster atau udang kara, udang harimau dan udang galah, selain abalon, ikan kerapu dan ketam kami tangkap atau pancing dan pelihara sendiri.

“Kami orang susah dan hidup dalam perahu manalah ada teknologi memukat di laut dalam atau membina kelong sendiri. Memancing pun menggunakan joran tradisi,” katanya. – EDISI 9

Terkini

Warga Israel bersama 6 pucuk senjata api ditahan

SEORANG lelaki warga Israel ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama enam pucuk pistol di sebuah hotel di Jalan Ampang,...

Lagi Artikel Berkaitan