KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Semporna menyediakan bantuan segera kepada semua mangsa yang terlibat dalam insiden jeti roboh di Kampung Papabag, Semporna, Sabah, pagi tadi.
Difahamkan, kira-kira 25 murid sekolah termasuk murid tabika KEMAS dan dua guru Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Papabag terbabit dalam kejadian pada pukul 6.45 pagi itu.
Menurut KPM, pihaknya telah mengambil langkah dengan menyiasat punca kejadian tersebut.
“Sebagai makluman, laporan awal yang diperoleh dari PPD Semporna mendapati insiden tersebut berlaku semasa murid sedang menaiki jeti di kampung untuk ke sekolah.
“Akibat daripada runtuhan tersebut, dua orang murid cedera ringan manakala mangsa lain dilaporkan selamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ujar kenyataan itu lagi, KPM memandang serius terhadap insiden tersebut dan akan memastikan aspek keselamatan ditingkatkan dengan mewajibkan pemakaian jaket keselamatan dan keadaan struktur jeti yang selamat digunakan.
Menurutnya, KPM juga akan mengadakan sesi libat urus dengan pemegang taruh serta pihak berkuasa tempatan dalam waktu terdekat untuk membincangkan cadangan penambahbaikan infrastruktur di jeti sedia ada bagi memastikan agar kejadian seperti ini tidak berulang.
“Usaha untuk memberikan bantuan sokongan psikososial terhadap guru dan murid yang menjadi mangsa akan terus digiatkan. KPM juga akan memohon pihak kerajaan tempatan untuk menyediakan laluan alternatif yang lebih selamat untuk murid, ibu bapa dan guru ke sekolah,” katanya.
Dalam pada itu, KPM menegaskan akan sentiasa komited untuk memastikan keselamatan dan kebajikan murid menjadi keutamaan.
-EDISI9