25.5 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Keputusan MT malam ini tentukan UMNO kukuh atau berantakan

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

SEMEMANGNYA penulis memahami sentimen segelintir pemimpin UMNO yang tidak senang dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, parti Bersatu dan Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Tetapi mahu tidak mahu, UMNO berada dalam kerajaan yang dipimpin oleh Muhyiddin dan turut dianggotai oleh parti Bersatu. Kini selepas 16 bulan, malam ini Majlis Tertinggi (MT) parti akan bermesyuarat.

Mereka akan menentukan sama ada UMNO akan menarik sokongan kepada Kerajaan PN atau sebaliknya. Namun buat masa ini penentangan kuat datang daripada ahli-ahli Parlimen UMNO.

Mereka mahu terus kekal dalam kerajaan sehingga pembubaran Parlimen. Bukan soal mahu mempertahankan kedudukan atau terus menikmati keistimewaan kerana berada dalam Kabinet dan GLC, tetapi situasi negara sekarang sama sekali tidak sesuai untuk mana-mana juga parti mencetuskan pergolakan politik.

Pada masa sama, mereka berpegang kepada keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang memutuskan “menerima dan mempertahankan keputusan Majlis Tertinggi UMNO pada 19hb Februari 2021 yang membuat ketetapan tiada kerjasama dengan PPBM dalam PRU-15 dan kebersamaan dalam Kerajaan Perikatan Nasional diteruskan sehingga pembubaran Parlimen.”

Oleh itu kenapakah masih mahu meneruskan juga agenda memperbincangkan soal keluar daripada kerajaan? Apakah ini bermaksud kepemimpinan UMNO mahu mendidik ahli-ahli parti melanggar keputusan PAU?

Apakah selepas ini jika ada mana-mana cawangan atau bahagian UMNO melakukan perbuatan yang dilihat bertentangan dengan keputusan PAU, mereka tidak akan dikenakan tindakan? 

Kepemimpinan UMNO tidak boleh memberikan mesej yang salah kepada ahli-ahli parti itu memandangkan dalam Fasal 9.1 Perlembagaan UMNO berkaitan fungsi MT menyatakan;

“Majlis Tertinggi adalah menjadi badan yang menjalankan pentadbiran hal ehwal UMNO di bawah kekuasaan dan perintah Perhimpunan Agung dan Majlis Tertinggi adalah berkuasa menjalankan sebarang langkah bagi pihak Perhimpunan Agung pada masa ketiadaannya tetapi segala langkah itu hendaklah dimaklumkan kepada Perhimpunan Agung.”

Fasal ini sudah jelas membuktikan MT mesti mematuhi perintah PAU? Apakah ‘perintah’ PAU pada Mac lalu? ‘Perintahnya’ ialah kekal dalam kerajaan sehingga Parlimen dibubarkan.

Justeru kenapakah secara tiba-tiba kepemimpinan UMNO mahu menjadikan sidang Parlimen sebagai ‘alat’ untuk ‘menghalalkan’ tindakan mahu keluar daripada kerajaan. Lagipun isu Parlimen sudah tidak relevan kerana ia akan bersidang mulai 26 Julai ini.

Kalau mahu berkeras juga keluar daripada kerajaan, adakah ahli-ahli MT mahu bertanggungjawab jika dituduh melanggarkan perintah PAU? Kalau arahan PAU boleh dilanggar begitu sahaja, apa gunanya ia diadakan setiap tahun? Lebih baik MT sahaja yang buat keputusan dan menentukan segala-galanya.

Bagaimanapun penulis percaya ketegasan yang ditunjukkan oleh ahli-ahli Parlimen UMNO yang berada dalam kerajaan akan membantutkan langkah politik untuk membawa parti itu keluar daripada kerajaan.

Jika MT UMNO bertegas juga mahu berbuat demikian, mereka perlu bersedia untuk melihat parti itu berantakan. Ia memandangkan ahli-ahli Parlimen tersebut sudah menyatakan dengan tegas dalam pertemuan dengan Presiden parti Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Wisma Perwira, Isnin lalu mereka bersedia dipecat kerana mahu kekal dalam kerajaan.

Advertisements

Justeru tanggungjawab MT UMNO malam ini bukan sekadar mengikut sahaja naratif yang sudah disusun sejak dua minggu lalu, apabila Ahmad Zahid memberi tempoh kepada kerajaan memanggil sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari, tetapi jauh daripada itu, ia akan menentukan sama ada keputusan yang dibuat akan memperkukuhkan UMNO atau menyebabkan parti itu berantakan.

Kenapa kukuh? dan Kenapa pula berantakan? UMNO akan kukuh kerana keputusan kekal di dalam kerajaan sehingga Parlimen dibubarkan akan mengelakkan kekecohan politik berlaku bukan sahaja dalam parti tetapi di luar parti.

UMNO dapat mengelakkan perpecahan kerana keputusan itu selaras dengan pendirian ahli-ahli Parlimennya yang berada dalam kerajaan. Maknanya, UMNO tidak akan berantakan dan rakyatpun berasa lega kerana mereka tidak perlu menyaksikan satu lagi adegan politik merebut kuasa yang memualkan.

Tetapi UMNO akan ‘berantakan’ jika bertindak keluar daripada kerajaan. Ia kerana akan berlaku pergolakan dalaman yang cukup serius melibatkan ahli-ahli MT dengan ahli-ahli Parlimen UMNO dalam kerajaan. 

Pergolakan itu tidak akan berhenti di peringkat atasan sahaja tetapi akan merebak ke peringkat akar umbi. Ahli-ahli UMNO akan berpuak-puak, berbalah sesama sendiri melibatkan penyokong-penyokong pemimpin yang bertelagah. Bukankah ini akan menghancurkan kekuatan UMNO?

Sudahlah dalam parti berantakan, dalam kalangan rakyat pula UMNO akan dilihat parti kemaruk kuasa kerana tergamak berpolitik ketika pandemik Covid-19. Cuba fikir betul-betul, adakah ketika ini rakyat bercakap soal politik atau ancaman Covid-19?

Betul, rakyat bersetuju dengan perjuangan UMNO bagi membantu rakyat berhadapan dengan pandemik tersebut, malah penulis akui ketegasan UMNO secara konsisten membuat tuntutan kepada kerajaan banyak membantu rakyat.

Tetapi adakah mereka yakin rakyat juga akan menyokong mereka jika gerakan politik dilakukan ketika pandemik ‘tengah menggila’?

Segelintir pemimpin UMNO mungkin merasa seronok sebab banyak hashtag yang memaki hamun kerajaan dalam Twitter dan ada kempen bendera putih yang dianggap sekarang waktu terbaik menumbangkan kerajaan dengan tanggapan rakyat pasti menyebelahi mereka.

Kalau itulah pemikiran yang ada dalam segelintir pemimpin UMNO, mereka sebenar sedang membuka jalan kepada ‘kehancuran’ politik parti itu.

Justeru kepada ahli-ahli MT UMNO yang akan bermesyuarat malam ini, jangan membuat keputusan berdasarkan amarah politik apatah lagi memikirkan sama ada akan ‘mendapat watikah’ atau tidak. 

Kalau betul mereka berjuang untuk rakyat, mahu menyelamatkan negara dan sayangkan parti, fikirkanlah adakah dengan bertindak keluar daripada kerajaan sehingga mencetuskan huru hara politik ketika ini adalah langkah yang tepat dan pasti akan dihukum dalam PRU serta menjadi lemah akibat krisis dalaman.

Atau kekal bersama kerajaan sehingga Parlimen dibubarkan tetapi terus lantang memperjuangkan kepentingan rakyat yang pasti membantu mereka dalam PRU. 

Pilihan di tangan ahli-ahli MT dan sudah tentu mereka akan dipertanggungjawabkan terhadap pilihan yang buat. Ahli-ahli UMNO sedang menanti, rakyat akan menilai.

Advertisements

Terkini

MasChain perkenal ekosistem teknologi ‘blockchain’ di Malaysia

SYARIKAT pakar teknologi blockchain, Masverse Sdn. Bhd. melancarkan MasChain, platform transformatif yang direka untuk merevolusikan ekosistem digital bagi kerajaan,...

Lagi Artikel Berkaitan