32.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

10 negeri catat penurunan kes baharu harian COVID-19

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Sebanyak 10 buah negeri menyaksikan kes baharu COVID-19 berkurangan, sekali gus menjadi penyumbang kepada penurunan jumlah kes baharu harian COVID-19 negara hari ini.

Sebanyak 10,710 kes baharu harian COVID-19 dilaporkan, berbanding semalam iaitu sebanyak 12,528 kes. 

Dengan pertambahan kes baharu tersebut, menjadikan jumlah kes positif COVID-19  yang dilaporkan sejak pandemik melanda negara adalah sebanyak 916,561 kes.

Daripada jumlah kes baharu yang dilaporkan, pecahan mengikuti kategori kes meliputi, kategori lima, pesakit kritikal yang memerlukan ventilator dengan 95 kes bersamaan 0.9 peratus; kategori empat, pesakit memerlukan bantuan oksigen dengan 45 kes (0.4 peratus ) dan kategori tiga, pesakit yang mengalami radang paru-paru dengan 91 kes (0.8 peratus).

Sementara itu, bagi kategori dua, pesakit yang mengalami gejala ringan sebanyak 4,162 kes (38.9 peratus) dan kategori satu sebanyak 6,317 kes (59 peratus).

Secara keseluruhannya, 2.1 peratus kes iaitu 231 kes yang dilaporkan berada pada kategori tiga, empat dan lima.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, meskipun peratusan kes kategori tiga hingga lima adalah tidak tinggi, namun harus diambil perhatian bahawa kes kategori lima memerlukan purata tempoh jagaan di unit rawatan rapi (ICU) selama 21 hari.

“Bagi kes kategori empat pula, memerlukan purata tempoh jagaan di ICU selama 14 hari dan kes kategori tiga memerlukan penjagaan dan pemerhatian di hospital terutama bagi yang berisiko tinggi.

“Tempoh masa yang lama diperlukan bagi kes-kes ini untuk diberi jagaan di wad dan ICU, telah mengakibatkan kapasiti katil terhad dan menjadi semakin penuh dan sesak.

“Ini akan terus membebankan sistem kesihatan terutamanya di ICU, hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC).

“Oleh itu, kita perlu bersama-sama menjaga diri kita, keluarga kita dan masyarakat kita agar terlindung daripada dilangkiti COVID-19. Segeralah mendaftar dan dapatkan suntikan vaksin COVID-19 agar kita dapat melindungi diri dan melindungi semua,”katanya menerusi kenyataan media di sini.

Dalam perkongsian di twitter terdahulu, Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, dalam kes baharu harian COVID-19 hari ini, Selangor merekodkan sedikit penurunan kes, iaitu sebanyak 4,828 kes, berbanding 4,985 kes semalam.

“Begitu juga dengan Kuala Lumpur iaitu sebanyak 945 kes dilaporkan pada hari ini berbanding 1,740 kes semalam. Namun, Johor mencatatkan peningkatan sebanyak 183 kes dengan 808 kes dilaporkan. 

“Seterusnya, Negeri Sembilan dengan 771 kes, penurunan sebanyak 509 kes berbanding semalam, diikuti Kedah sebanyak 696 kes, penurunan sebanyak lima kes.

“Lain-lain, Sabah (666 kes), Perak (407 kes), Pahang (369 kes), Pulau Pinang (295 kes), Melaka (289 kes), Sarawak (261 kes), Kelantan (146 kes) dan Terengganu (123 kes).

“Putrajaya pula (51 kes),  Labuan (50 kes) dan Perlis (lima kes),”katanya.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham memaklumkan, terdapat 17 kluster baharu telah dikenal pasti terdiri daripada 10 kluster tempat kerja, lima kluster komuniti serta masing-masing satu kluster pusat tahanan dan kumpulan berisiko tinggi.

“Kluster tersebut ialah Kluster Industri Desa Aman (46 kes), Kluster Industri Jalan Klinik (67 kes), Kluster Persiaran Pekeliling Bangi (17 kes), Kluster Agathis (33 kes), Kluster Sri Sandau (11 kes), Kluster Jalan Segambut Duta (39 kes), Kluster Industri Jalan Usaha 12 (22 kes) dan Kluster Dah Padang Temusu (36 kes).

“Selebihnya, Kluster Batu Enam Pandan (12 kes), Kluster Lorong MIEL Lundang (enam kes), Kluster Jalan Bacang 30 (15 kes), Kluster Jalan Tasek Seri Alam (17 kes), Kluster Jalan Denai Utama (14 kes), Kluster Dah Kampung Kerchut (25 kes), Kluster Pos Iskandar (36 kes), Kluster Tembok Tawau Dua (159 kes) dan Kluster Batu Tiga Utara (20 kes),”katanya.

Katanya, pesakit sedang dirawat dan diasingkan terus meningkat kepada 124,593 kes termasuk 909 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 445 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Begitu juga dengan jumlah kematian yang dilaporkan hari ini, merupakan angka tertinggi direkodkan dengan 153 kes, menjadikan jumlah kematian terkini mencecah 7,019,”katanya.- Edisi 9

Terkini

50 keluarga asnaf terima bantuan pek makanan IR Malaysia

SERAMAI 50 keluarga asnaf menerima bantuan pek makanan daripada Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia) sempena program MySinggah Ramadan yang...

Lagi Artikel Berkaitan