30.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Gerakan Kakitangan Awam bukan suara penjawat awam

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mengecam sekeras-kerasnya kenyataan yang tersebar melalui media sosial kononnya daripada Gerakan Kakitangan Awam mendesak supaya Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ‘merehatkan’ tugasan Perdana Menteri serta Ahli-Ahli Jemaah Menteri dan mewujudkan kerajaan sementara yang diterajui Ketua Setiausaha Negara.

Presidennya, Adnan Mat berkata, CUEPACS menyifatkan kenyataan tersebut adalah tidak bertanggungjawab kerana menggunakan nama dan cuba mengheret penjawat awam bagi mencapai tujuan tertentu sehingga boleh mencetuskan kegelisahan awam.

Menurut beliau, kenyataan tersebut yang dipetik daripada akaun Facebook ‘Gerakan Kakitangan Awam Malaysia’ sama sekali tidak mewakili suara kira-kira 1.7 juta penjawat awam di seluruh negara.

“Sebagai penjawat awam, kami semua tetap berpegang teguh kepada kepada konsep keneutralan dan profesionalisme serta menghormati prinsip pembahagian kuasa bagi memastikan kedaulatan undang-undang dapat dipertahan dalam menjunjung Perlembagaan Persekutuan.

“Mewujudkan kerajaan sementara seperti yang disarankan merupakan satu langkah sukar untuk dilaksanakan dan tidak mampu menyelesaikan masalah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tangkap layar yang memaparkan tuntutan oleh kumpulan Facebook Gerakan Kakitangan Awam – GKA Malaysia tular dalam media sosial sejak beberapa hari lalu.

Walau bagaimanapun, carian Edisi 9 dalam Facebook hari ini tidak menemukan kumpulan berkenaan.

Gerakan Kakitangan Awam
Tangkap layar kumpulan Facebook Gerakan Kakitangan Awam yang tular dalam media sosial.

Adnan mengingatkan, Malaysia sejak sekian lama telah mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan pembahagian kuasa kepada tiga bahagian dalam pemerintahan iaitu perundangan, kehakiman dan eksekutif.

Beliau memberitahu, kerajaan ketika ini sedang giat melaksanakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dan Pelan Pemulihan Negara
(PPN).

Advertisements

“Sebarang usaha yang boleh mengganggu kejayaan program ini hanya akan mengheret negara dalam situasi yang tidak menentu sekali gus memberi kesan buruk kepada rakyat,” jelasnya.

Tambah Adnan, CUEPACS berharap pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat pemilik atau pengendali sebenar akaun Facebook yang menggunakankan nama Gerakan Kakitangan Awam Malaysia.

Beliau berkata, tindakan tegas dan berat perlu diambil oleh individu yang terlibat bagi memastikan kejadian sama tidak berulang lagi sehingga mencetuskan ketidaktenteraman awam.

“Orang ramai diminta tidak berkongsi atau menyebarkan kenyataan tersebut sama ada di media sosial atau medium perhubungan lain supaya tidak mengelirukan masyarakat.

“Pihak berkuasa perlu memastikan akaun media sosial tersebut ditutup bagi menjaga nama baik penjawat awam.

“Harus diingatkan, tugas dan fokus penjawat awam hanya tertumpu kepada khidmat bakti yang tidak berbelah bahagi kepada raja, negara, rakyat dan kerajaan yang memerintah,” tegasnya.

Adnan berkata, CUEPACS berharap dan menasihatkan mana-mana pihak agar tidak mengambil kesempatan menggunakan nama penjawat awam untuk tujuan politik atau pun mencetuskan perbalahan.

Menurut beliau, CUEPACS turut menyeru supaya semua ahli politik baik di pihak kerajaan atau pembangkang dapat bersama bersatu hati dalam menguruskan pandemi COVID-19 yang berlaku di negara kita agar wabak ini dapat dibendung dan kebajikan rakyat dapat dibela.

“Sebarang usaha untuk menganggu gugat keamanan dan perebutan kuasa dimasa COVID-19 sedang melanda dan rakyat sedang sengsara perlulah dielakkan buat masa ini,” katanya. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan