30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Hospital Kapit terima 5 mesin ventilator sumbangan SSM

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KAPIT – Hospital Kapit, Sarawak menerima lima buah mesin ventilator hasil sumbangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerusi peruntukan wakalah agihan zakat korporat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Penyerahan mesin ventilator yang bernilai RM125, 000 itu telah disempurnakan Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi
ketika melaksanakan Program Bakul Makanan di kawasan Parlimen Kapit, Sarawak di sini, hari ini.

Sumbangan mesin ventilator kepada Hospital Kapit berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif SSM dalam usaha untuk memanfaatkan peruntukan wakalah agihan zakat korporat di bawah kategori fisabilillah bagi membantu pesakit yang mengalami masalah pernafasan yang teruk akibat jangkitan wabak COVID-19.

Menurut Alexander, mesin ventilator ini akan menjadi alat sokongan kepada pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan untuk mengawal pengaliran oksigen dengan lebih baik dan mudah dikendalikan berbanding alat bantuan pernafasan biasa.

SSM merupakan sebuah agensi kerajaan di bawah KPDNHEP yang bertanggungjawab mengawal selia sektor korporat dan perniagaan di negara ini.

Dalam pada itu, Alexander berkata, SSM turut telah memperkenalkan 11 inisiatif pada tahun ini untuk membantu sektor perniagaan dan korporat berdepan dengan situasi mencabar ketika ini.

“Saya berharap inisiatif-inisiatif yang diperkenalkan dapat membantu
mengurangkan beban yang dihadapi oleh sektor korporat memenuhi kewajipan mereka di bawah undang-undang yang dikawal selia oleh
SSM,” katanya menerusi kenyataan media di sini.

Maklumat lanjut berhubung inisiatif-inisiatif tersebut boleh dirujuk di portal rasmi SSM di www.ssm.com.my.

Sementara itu, berkaitan program Bantuan Bakul Makanan, Alexander yang juga Ahli Parlimen Kapit berkata, program ini merupakan salah satu program di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang telah diperkenalkan oleh kerajaan bagi meringankan beban rakyat yang berada dalam fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Bantuan Bakul Makanan bagi Parlimen Kapit, Sarawak telah diadakan membabitkan penerima, iaitu golongan sasar dari ketiga-tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Katibas, Pelagus dan Bukit Goram.

“Bagi kawasan Parlimen Kapit, saya telah mengagihkan sejumlah RM100,000 untuk setiap kawasan DUN.

“Sebanyak 3,000 keluarga akan menerima bantuan tersebut dan program pengagihan ini akan dibuat dalam masa sebulan menerusi Jawatankuasa tertentu bersama Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kapit,” katanya.

Antara makanan yang disumbangkan di dalam Bantuan Bakul Makanan ini adalah berupa makanan kering dan bahan masakan.

Sehubungan dengan itu, katanya, beliau berharap dengan sumbangan bantuan ini dapatlah membantu meringankan beban penduduk yang kurang berkemampuan
dan terjejas akibat penularan pandemik COVID-19.

“Inisiatif ini akan diteruskan ke beberapa kawasan yang lain bagi membantu lebih banyak rakyat yang terjejas terutamanya golongan sasar.

“Dengan tanggungjawab dan usaha komited yang dijalankan oleh Pejabat Parlimen Kapit, usaha mendekati dan membantu rakyat akan dapat dilaksanakan dengan jayanya,” katanya.

Menerusi PEMULIH, Kerajaan Pusat telah meluluskan sejumlah RM300,000 bagi setiap Ahli Parlimen termasuk Ahli Parlimen Pembangkang untuk membantu golongan yang amat memerlukan dan terdesak dalam bentuk barang makanan asas di kawasan masing-masing. – Edisi 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan