28.2 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

Pelbagai program menarik menjelang sambutan 100 tahun UPSI

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

TANJONG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini merancang untuk melaksanakan pelbagai program menjelang sambutan ulang tahun ke-100 penubuhannya, bermula 29 November depan.

Majlis Kemuncak Sambutan 100 Tahun akan diadakan pada 29 November 2022 sebagai tanda acara melabuhkan tirai.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, pada tarikh berkenaan akan berlangsung majlis pelancaran sempena sambutan 100 tahun yang merentasi empat era iaitu Sultan Idris Training College (SITC), Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Institut Pendidikan Sultan Idris (IPSI) dan UPSI sekali gus menandakan bermulanya pelaksanaan pelbagai program.

UPSI 100 tahun MD AMIN MD TAFF
MD AMIN MD TAFF

Menurut beliau, program-program tersebut membabitkan kluster dalam penganjuran program sejarah, teknologi pendidikan, kebudayaan, kerohanian, kepimpinan, penerbitan, penyelidikan dan inovasi, rekreasi, keusahawanan, pengantarabangsaan, komuniti, serta alumni yang dijayakan semua peringkat pusat tanggungjawab yang ada di UPSI.

“Walaupun berlakunya kekangan pandemik COVID-19 yang menyebabkan pihak kerajaan menguatkuasakan beberapa kaedah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun sambutan akan diadakan secara dalam dalam talian.

“Insya-Allah, sekiranya PKP dilonggarkan dan dibenarkan, maka UPSI akan melaksanakannya secara fizikal bagi memeriahkan sambutan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Md Amin menambah, UPSI juga akan menzahirkan tagline atau slogan baharu iaitu “DEMI UPSI” agar seluruh warga UPSI bersatu hati melonjakkan nama institusi pengajian tinggi awam (IPTA) itu dalam pelbagai bidang menerusi semangat kerja di bawah iltizam “DEMI UPSI”.

Beliau memberitahu, UPSI merupakan sebuah universiti yang melahirkan pendidik yang berbakti di seluruh negara demi kemajuan dunia pendidikan negara.

“Peranan UPSI sangat besar dalam membentuk modal insan anak bangsa pelbagai lapisan masyarakat dan bangsa,” jelasnya.

Sempena sambutan tersebut, logo rasmi 100 tahun dicipta dan akan dipaparkan pada semua latar belakang program sama ada fizikal atau digital, Facebook UPSI, video, dan semua aktiviti sama ada di fakulti, kolej kediaman serta persatuan.

Logo UPSI berwarna keemasan yang diletakkan dalam angka 100 menunjukkan bahawa legasi SITC menjulang kegemilangan sehingga era UPSI selama 100 tahun untuk membina kemasyhuran.

Bangunan Suluh Budiman yang bersejarah diletakkan dalam lingkaran ema dan ia kekal utuh sejak era SITC sehingga kini.

Bangunan tersebut juga telah digazetkan di bawah akta Warisan Kebangsaan 2005 sebagai Bangunan Warisan Kebangsaan pada 14 Februari 2009.

Garis lengkung yang merentasi logo 100 tahun menunjukkan gelombang peredaran era kegemilangan UPSI bermula dengan SITC, MPSI, IPSI sehingga kepada zaman UPSI.

Warna emas pada logo ini melambangkan kejayaan, kegemilangan dan kekayaan ilmu pengetahuan; dan warna emas gelap menggambarkan kekuatan tenaga kerja yang mantap, berevolusi, berkeyakinan dan berdaya saing.

UPSI akan menghasilkan pelbagai bentuk cenderamata yang terpapar logo sambutan 100 Tahun untuk dibeli dan dimiliki oleh warga UPSI, alumni SITC-MPSI-IPSI-UPSI serta masyarakat yang ingin memilikinya sebagai koleksi peribadi.

Justeru, sebagai inisiatif menyemarakkan semangat sambutan, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad diberi penghormatan melancarkan logo sambutan 100 Tahun menerusi slot Selamat Pagi Malaysia (SPM) RTM 1 hari ini.

100 tahun UPSI

UPSI memiliki sejarah yang panjang berikutan penubuhannya berkesinambungan dari zaman SITC pada tahun 29 November 1922, MPSI dan IPSI seterusnya dinaik taraf kepada UPSI pada 1997.

Nama SITC mengambil sempena Sultan Idris Mursyidul’ adzam Shah yang memerintah Perak selama 30 tahun.

Bagi mengenang jasa-jasa besar baginda dalam memajukan bidang pendidikan orang Melayu, maka nama maktab perguruan yang dibuka pada 29 November 1922 di Tanjong Malim dinamakan Sultan Idris Training College atau SITC.

SITC dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Sir W George Maxwell.

Semasa zaman SITC, ramai tokoh pemimpin, negarawan, pendidik, pejuang bahasa dan pengarang kreatif yang membakar semangat nasionalisme dilahirkan.

Antaranya ialah Tun Abdul Ghafar Baba, Senu Ibrahim, Tun Abdul Rahman Abbas, Pendeta Za’ba, Muhammad Yassin Maamor (Pungguk), Ahmad Bakhtiar, Buyong Adil dan ramai lagi.

Alumni SITC dari Singapura termasuk bekas menteri kanan republik tersebut, Sidek Sanif, Suratman Markasan dan Mohd Ariff Ahmad manakala alumni dari Brunei ialah Datuk Paduka Haji Ahmad Kadi.

Zaman SITC dan MPSI menyaksikan ramai pelatihnya berhasil menjadi pengarang kreatif yang terkenal, antaranya Ibrahim Yaakub, Harun Aminurrashid, Prof Emeritus Dr Awang Had Salleh, Datuk Ismail Abbas (Amil Jaya), Shaharom Husain, Tubagus Abdullah ( Anas K Hadimaja), A Wahab Ali, Dr Kamaruzzaman Abd Kadir (Dharmawijaya), Hassan Ali (Hasbima), Kasmani Hj Ariff, Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah (Kemala), Datuk Dr Hashim Awang, Md Wahi Long (Pancaran Wau), Mokhtar Yassin, Othman Puteh, Ramli Isin, Datuk Rahman Shaari, Ali Majod, Suhaimi Hj Muhammad, Nazel Hashim Mohamad, Sohaimi Aziz, Naafi Mat, Nassury Ibrahim dan ramai lagi.

Tahun 1997 menyaksikan era UPSI bermula apabila IPSI dinaik taraf menjadi sebuah universiti.

Bermula dengan Naib Canselornya yang pertama, Datuk Dr Ashari Che Mat diikuti Prof Emeritus Datuk Wira Ir Dr Mohammad Nor Salleh, Tan Sri Datuk Dr. Muhammad Rais Abdul Karim, Prof Datuk Dr Zakaria Kasa, Prof Emeritus Datuk Dr Aminah Ayob, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran dan sejak Jun lalu dipimpin oleh Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff.

Semangat mendalam terhadap Ibu Kandung Suluh Budiman mendorong kepada penubuhan Persatuan Alumni Suluh Budiman yang dipimpin presidennya, Datuk Seri Ahmad Burak yang juga alumni zaman MPSI.

Sejak 1997, UPSI sudah melahirkan lebih 200,000 graduan yang menabur jasa untuk negara.

UPSI memiliki dua kampus iaitu Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJS) seluas 85 ekar yang menempatkan bangunan-bangunan warisan yang dibina pada zaman SITC iaitu Bangunan Suluh Budiman (binaan pada tahun 1920-an), Rumah Pengetua, Tadahan Utara, Tadahan Selatan, Rumah Tamu, Dewan Makan serta Sekolah Latihan SITC.

UPSI juga memiliki sebuah kampus baharu di Proton City iaitu Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS) yang berkeluasan 850 ekar berlatarbelakangkan Banjaran Titiwangsa yang sangat indah dan mendamaikan. – EDISI 9

Terkini

Piala Asia B23: Harimau Muda gagal jinakkan Uzbekistan

HASRAT skuad Harimau Muda negara untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata daripada juara edisi 2018, Uzbekistan gagal apabila ditundukkan 0-2...

Lagi Artikel Berkaitan