24.9 C
Kuala Lumpur
Sunday, April 28, 2024

Cuepacs tidak setuju kerajaan mansuh pencen penjawat awam

Mesti Baca

KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan yang akan memansuhkan skim pencen untuk lantikan penjawat awam baharu berstatus tetap.

Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata, secara puratanya penjawat awam berkhidmat kepada negara melebihi 30 tahun sebelum layak menerima faedah saraan selain pencen juga menjadi skim yang lebih menjamin kesejahteraan mereka selepas bersara.

“Ketika ini penjawat awam dibenarkan membuat pilihan sama ada memilih skim berpencen ataupun caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tetapi kebanyakan mereka lebih memilih skim berpencen.

“Dengan skim gaji yang masih rendah dalam perkhidmatan awam ketika ini, skim caruman KWSP ini dilihat tidak membantu penjawat awam mempunyai simpanan hari tua yang baik selepas persaraan nanti.

“Disebabkan itulah kebanyakan penjawat awam lebih memilih skim pencen kerana ia adalah keistimewaan yang terbaik kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, kabinet Rabu dilaporkan bersetuju supaya perjawatan bagi penjawat awam baharu kerajaan berstatus tetap selepas ini adalah tidak berpencen.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, bagi penjawat awam sedia ada, status berpencen mereka tidak terjejas sementara penjawat awam baru akan membuat caruman menerusi KWSP.

Adnan berkata, kerajaan sewajarnya mengadakan sesi libat urus terlebih dahulu dengan pihak-pihak berkepentingan sebelum terus menetapkan skim caruman KWSP secara mandatori kepada lantikan baharu.

Advertisements

“Pandangan Cuepacs jelas, sekiranya kerajaan mahu melaksanakan sesuatu perkara perlulah berlandaskan prinsip tidak dikurangkan faedah semasa yang dinikmati oleh penjawat awam ketika ini.

“Kerajaan harus memastikan gaji yang diterima hari ini mampu memberi kesejahteraan hidup untuk penjawat awam dan dalam masa yang sama gaji ini mampu memberi simpanan untuk hari persaraan nanti,” katanya.

Adnan turut menegaskan, sekiranya kerajaan tetap ingin menamatkan skim pencen itu, ia hendaklah terpakai kepada lantikan politik yang layak menerima pencen ketika ini.

Katanya, jika kekangan kewangan yang menghalang kerajaan untuk meneruskan skim pencen perkhidmatan awam, kerajaan juga perlu mengkaji semula pemberian pencen kepada ahli politik.

“Ketika ini ahli politik yang dipilih menjadi wakil rakyat membabitkan ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta dilantik ke dalam jawatan eksekutif seperti exco, menteri, timbalan menteri juga layak untuk menerima pencen.

“Pemansuhan pemberian pencen kepada golongan ini terlebih dahulu adalah langkah yang tepat kerana kebanyakan mereka berkhidmat sekitar lima tahun sahaja,” katanya lagi.

Beliau berkata, kumpulan wakil rakyat berkenaan bukan sahaja menerima elaun serta peruntukan yang tinggi semasa berkhidmat malah memiliki pelbagai keistimewaan berbanding penjawat awam yang secara purata berkhidmat lebih 30 tahun.

Justeru, keutamaan kepada kerajaan ketika ini adalah mengkaji bagi kes-kes mereka yang berkhidmat waktu singkat tetapi menikmati faedah saraan yang agak selesa dan bukannya menyasarkan kepada penjawat awam sahaja. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Kerajaan Pusat lulus peruntukan RM1.59 bilion untuk Terengganu

KERAJAAN Persekutuan meluluskan peruntukan RM1.59 bilion di bawah Rolling Plan 4 (RP4) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi manfaat rakyat...

Lagi Artikel Berkaitan