24.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Vaksinasi pengamal media Malaysia bermula 9 Jun

Mesti Baca

CYBERJAYA – Suntikan vaksinasi COVID-19 bagi pengamal media di negara ini akan bermula pada 9 Jun ini.

Perkara itu disahkan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.

Memetik laporan BH Online, Khairy berkata, pengamal media termasuk wartawan dan jurugambar akan mula mendapat janji temu suntikan vaksin hari ini.

“Bagaimanapun, senarai jumlah sebenar petugas media ini sedang disemak di peringkat akhir ini,” katanya kepada media selepas melawat di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) KLCC di Kuala Lumpur yang mula beroperasi, hari ini.

Para pengamal media tempatan bimbang tentang keselamatan diri mereka kerana terdedah kepada risiko jangkitan COVID-19 semasa bertugas.

Antara persatuan dan kelab media tempatan yang menyuarakan kebimbangan adalah Kelab Media Putrajaya, Gerakan Media Merdeka (Geramm) serta Kelab Wartawan KL Selangor.

Kesemuanya berharap agar kerajaan melaksanakan program vaksinasi untuk pengamal media seperti yang telah diumumkan sebelum ini.

Pada masa yang sama, pengamal media menyatakan bahawa mereka tidak meminta pengiktirafan yang serupa seperti petugas barisan hadapan seperti kakitangan Kementerian Kesihatan dan pasukan keselamatan yang telah diberi vaksin pada fasa pertama.

“Bukan niat kami untuk meminta-minta… Apatah lagi nak menunjukkan seolah-olah kami lebih ‘frontliner’ dari frontliner yang ada, tidak!

“Di sebalik gagahnya pasukan keselamatan di SJR (sekatan jalan raya), terselit dicelah-celahnya kami untuk merakam tugas mereka.

Advertisements

“Di sebalik jasad yang dibawa ke liang lahad atau dibakar (bagi bukan Islam), di situlah kami gagah berdiri merakam detik pilu perginya seorang individu dek kerana ganasnya COVID-19.

“Di sebalik kenyataan dan amanat disampaikan DG KKM (Ketua Pengarah Kesihatan), menteri dan Perdana Menteri, di situ jugalah kami tekun menulis patah demi patah apa yang dituturkan.

“Semua ini untuk disampaikan ke pengetahuan seluruh rakyat, dari sumber yang tepat, dalam kadar yang sepantas mungkin.

“Jadi, kami perlukan vaksin ini. Semua ini demi tugas. Satu persatu rakan seperjuangan mula dijangkiti dan dikuarantin. Ada yang terlantar di hospital, tak kurang di tempatkan di pusat-pusat kuarantin,” jelas Kelab Wartawan KL & Selangor dalam laman Facebook.

Awal bulan ini, seramai 15 pengamal media di Johor Bahru terpaksa dikuarantin setelah disahkan sebagai kontak rapat seorang wartawan penyiaran yang positif COVID-19.

Mereka merupakan kumpulan pengamal media yang membuat liputan kes di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 23 Mei lalu.

Selain itu, terdapat beberapa pengamal media yang pernah atau sedang menerima rawatan setelah disahkan dijangkiti COVID-19.

Malah, ada di antara mereka yang terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan.

Tanda pagar #CucukMyPress mulai tular sejak semalam bagi menggesa kerajaan mempercepatkan proses vaksinasi untuk pengamal media.

Dalam sidang media Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) 28 April lalu, Khairy mengumumkan kira-kira 1,500 petugas media bakal menerima vaksinasi pada Mei. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan