KEBAJIKAN dan nasib pengamal media di negara akan sentiasa menjadi keutamaan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD).
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, beliau selaku menteri akan sentiasa membantu menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapi termasuk bekas pengamal media.
“Satu aspek penting wartawan dan sempena Hari Wartawan Nasional (Hawana) ialah isu kebajikan mereka yang terlibat dalam bidang media dan hari ini kami kunjung dan cuba memahami serba sedikit liku-liku kehidupan isu masalah yang dihadapi dan menyampaikan sumbangan kepada bekas petugas media.
“Selepas raya nanti pula saya akan bertemu wakil daripada 800 bekas pekerja Utusan yang diberhentikan kerja sebelum ini.
“Saya ingat lagi saya berinteraksi dengan mereka pada 2018 di Parlimen memperjuangkan nasib mereka di Dewan Rakyat dan sekarang saya menjawat jawatan ini akan teliti kebajikan mereka, isu yang dihadapi adakah telah selesai ataupun apa-apa yang saya boleh bantu ingin saya usahakan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada bekas wartawan Utusan Melayu (M) Bhd,. Muhammad Basir Abu Bakar, 44, yang menghidap penyakit jantung sempena program sulung Kasih@Hawana 2023.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha KKD, Mastura Ahmad Mustafa dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Roslan Ariffin.
Muhammad Basir antara 800 pekerja Utusan yang diberhentikan sebelum ini.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, KKD akan menyediakan bantuan internet percuma selama tiga tahun kepada keluarga berkenaan bagi memudahkan urusan perniagaan dan pembelajaran anak mereka.
“Saya harap ini dapat bantu dan dalam masa sama saya akan minta pihak MDEC untuk bertemu keluarga ini untuk meneliti aspek ekonomi digital yang belum mereka fikirkan untuk mereka ceburi.
“Ini bukan hanya secara dalam talian tetapi ada aspek lain ada keperluan untuk menulis kerana wartawan ini ada bakat yang boleh dimanfaatkan,” katanya. – Edisi 9

