26.1 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 17, 2024

61 pegawai kanan polis bertukar jawatan

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SERAMAI 61 pegawai kanan polis yang terbabit dalam pertukaran jawatan berkuat kuasa 15 Mei depan seperti diumum Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini.

Antara yang terbabit ialah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din akan bertukar ke Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, bagi menggantikan Datuk Seri Ayob Khan, yang sebelum ini dilantik Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah.

Menurut Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, jawatan dikosongkan Mohd Kamarudin akan diisi Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.

“Jawatan Ketua Polis Pahang pula akan diisi Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman, yang dinaikkan pangkat sebagai pemangku Komisioner Polis (CP).

“Pertukaran turut membabitkan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, yang dilantik Ketua Polis Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Noorsiah berkata, Timbalan Pengarah Cawangan Khas 2, Datuk Ahmad Ramdzan Daud pula diumumkan sebagai Timbalan Pengarah Cawangan Khas 1.

“Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan), Datuk Khaw Kok Chin, diumumkan sebagai Ketua Polis Pulau Pinang yang baharu bagi mengisi kekosongan di negeri berkenaan.

“Selain itu Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun pula dinaikkan pangkat sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah dengan memangku pangkat CP,” katanya.

PDRM juga turut mengumumkan pertukaran Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN), Penyelidikan dan Pembangunan Bukit Aman, Datuk Mohd Hishamudin Tahar ke Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan) dengan memangku pangkat CP.

Turut diumumkan adalah pertukaran Timbalan Pengarah (Pelucutan Harta/Perundangan/Tahanan) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Abdul Aziz Abdul Majid sebagai Timbalan Pengarah Cawangan Khas 2, dengan memangku pangkat CP.

Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan), Datuk Nerita Yaacob, kekal di jawatan sama, namun dinaikkan pangkat kepada CP.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa dilantik Timbalan Pengarah (Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, manakala jawatan Ketua Polis Terengganu diisi Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Datuk Mazli Mazlan.

-EDISI9

Terkini

26 warga asing ‘kosong’ ditahan di sekitar Johor Bahru

SEBANYAK 26 warga asing ditahan dalam operasi di sekitar Johor Bahru kerana dipercayai tidak memiliki dokumen yang sah dan...

Lagi Artikel Berkaitan