KEMENTERIAN Komunikasi dan Digital (KKD) akan mengadakan perbincangan dengan syarikat telekomunikasi (telco) untuk meneliti dan mewujudkan pakej pelan data yang lebih murah khusus untuk golongan penghantar p-hailing.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, hasil perbincangan mengenai pakej pelan data itu akan diumumkan dalam masa terdekat sekiranya ia berjalan lancar.
“Ramai tertanya-tanya apa kerajaan boleh lakukan untuk bantu lebih ramai rakan (yang hilang kerja tetap) untuk turut sama terlibat dalam bidang ini.
“Saya sedang bincang dengan beberapa syarikat telco untuk mencari jalan dalam membantu golongan berkenaan dengan menyediakan pakej yang lebih murah. Kalau semua berjalan lancar, tidak lama lagi akan kita umumkan (pakej khas),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pratonton eksklusif siri mini #CedokLife terbitan secara kerjasama Grab Malaysia dan platform penstriman dalam talian iQIYI Malaysia di ibu negara, hari ini.
Sementara itu, Fahmi berkata, KKD turut dalam perbincangan dengan syarikat platform penstriman untuk meneliti undang-undang yang memberi lebih banyak peluang kepada penerbit dan industri filem tempatan.
Katanya, ini adalah untuk memastikan platform penstriman dalam talian menghasilkan kandungan buatan dalam negara dengan peratusan tertentu.
“Jadi kita sedang meneliti perkara ini kerana ia dapat memberi peluang lebih banyak kepada penerbit dan industri filem,” katanya. – Edisi 9