BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meraikan pengamal media tempatan dan negara jiran, Indonesia sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2023.
Ismail Sabri berkata, hubungan akrab antara Malaysia dan Indonesia amat penting dan ia harus selalu dijaga serta diperlihara.
Tambah beliau, silaturahmi yang terjalin itu akan terus kekal dan mencambahkan buah fikiran demi kepentingan serta kesejahteraan kedua-dua negara.
“Hubungan baik dua negara ini harus terus dipupuk secara formal dan dengan sentuhan personal. Kedua-dua negara mempunyai hubungan geopolitik yang erat sejak sekian lama.

“Peranan media amat penting dan mampu menentukan rapat atau renggang hubungan kedua-dua buah negara,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam yang diadakan di ibu negara malam tadi.
Delegasi dari negara jiran itu diketuai Presiden Ikatan Wartawan Malaysia–Indonesia (Iswami) Indonesia, Asro Kamal Rokan yang juga bekas Pemimpin Redaksi akhbar Republika dan Pimpinan Umum Lembaga Kantor Berita Nasional atau Antara.

Turut serta, Ketua Pengarang Jakarta Post, Taufiqurahman; Ketua Pengarang IDN Times, Uni Z Lubis; Ilham Bintang; Ketua Pengarang Cek&Cek /Ketua Dewan Kehormatan Persatuan Wartawan Indonesia (PWI) Pusat, N Syamsuddin; CEO Akar Padi Communication, CH Haesy bersama dua Penasihat ISWAMI Indonesia, Prof OK Saidin Saidin SH M. Hum dan Faris Saleh.
Makan malam tersebut turut dihadiri wakil-wakil media Malaysia. – Edisi 9