32.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

SPM 2020 sejarah melahirkan generasi pasca-Covid-19

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

KEPUTUSAN Sijil Pelajaran Malaysia  (SPM) tahun 2020 sudah diumumkan baru-baru ini. Sepertimana yang diakui pelbagai pihak, keputusan SPM kali ini telah melakarkan sejarah apabila peperiksaan dikendalikan ketika musim pandemik Covid-19.

Penulis pula melihat keberhasilan dan kesan keputusan peperiksaan ini dalam pelbagai  skop yang lebih besar. Antaranya ialah pelaksanaan dan penerimaan sistem pembelajaran yang berasaskan pendidikan maya (e-learning) dan cabaran melahirkan generasi baru masa depan yang berteraskan ICT Based Lifestyle Society (IBLS) selepas era Covid-19.

Pencapaian keputusan SPM yang diumumkan baru-baru ini turut mengundang polemik kerana sesetengah pihak melahirkan ‘kecurigaan’ dengan pelbagai peningkatan tertentu yang dilihat tidak logik dengan situasi pandemik semasa dan kekangan kaedah pembelajaran seperti akses internet yang berhadapan dengan pelbagai masalah ketika Sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdPR) sejak tahun lalu. 

Pelbagai pihak mempersoalkan kesahihan Gred Purata Nasional (GPN) yang kononnya terbaik dalam tempoh lima tahun yang lalu.

Ada juga yang mengatakan bahawa pencapaian pelajar luar bandar yang lebih baik berbanding dengan pelajar luar bandar pada keputusan kali ini amat meragukan kerana pelajar luar bandar merupakan kelompok yang paling terkesan dengan pelbagai masalah berkaitan pembelajaran secara online ini.

Penulis sempat juga mencuri masa mendapatkan pandangan rakan-rakan yang berpengalaman mentadbir Kementerian Pendidikan peringkat tertinggi  sebelum ini. 

Banyak juga kesimpulan yang penulis dapat rasai tentang apakah sebenarnya cerita sebenar di sebalik pencapaian keputusan SPM 2020.

Terbaru, terdapat cerita yang bakal menjadi polemik apabila media sosial telah memaparkan seolah-olah berlaku hal-hal tertentu berkaitan keputusan SPM kali ini.

Bagi penulis, perkara yang lebih penting untuk diberi perhatian ialah sejauh manakah keputusan SPM ini akan memberikan impak yang berkesan dalam usaha kita untuk menyediakan generasi post Covid-19 yang berada di dalam fasa ‘Manusia ICT’ iaitu era masyarakat dunia yang mempunyai gaya hidup berteknologi tinggi.

Di sebalik kita meraikan kejayaan 9,411 orang yang dicanangkan mendapat skor A dalam semua matapelajaran, kita jangan lupa juga kepada nasib lebih 60,000 calon yang dikategorikan gagal mendapatkan kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia dan sebahagiannya tidak menduduki peperiksaan. 

Itu belum lagi yang tercicir dalam sistem pendidikan yang saya jangkakan mempunyai jumlah yang lebih tinggi untuk dikumpulkan. Apakah nasib mereka sebagai golongan yang tidak mempunyai sebarang kelayakan akademik yang diperakukan?

Pembelajaran vokasional pertanian swasta tingkatan 4 dan 5 yang dikendalikan penulis pada tahun 2015 bagi menyediakan pelapis pertanian moden.

Sebenarnya tahap pencapaian akademik calon-calon SPM ini boleh dilihat selepas mereka berada di  peringkat tertiary seperti IPTA dan IPTS atau kolej latihan kemahiran. Tenaga pengajar sudah boleh menilai tahap penguasaan sebenar lepasan SPM apabila mereka mengikuti pengajian di peringkat ini.

Tanyalah pensyarah-pensyarah IPTA misalnya, apakah cabaran mereka hari ini yang terpaksa berhadapan dengan lepasan SPM kini, berbanding dengan lepasan SPM untuk tempoh 20 hingga 30 tahun dulu. 

Walaupun pada masa lalu, teknologi maklumat tidak sehebat hari ini, tahap penguasaan ilmu asas dan kemahiran yang diperlukan untuk mendalami pendidikan peringkat tertiary kadangkala jauh lebih baik berbanding lepasan SPM hari ini. Itu belum lagi mengambil kira sikap dan tingkah laku mereka mendisiplinkan diri ketika mengikuti pengajian.

Keadaan akan menjadi lebih parah apabila mereka mula bekerja selepas tamat pengajian. Sebagai majikan, penulis juga seperti majikan lain yang berdepan dengan masalah berhadapan dengan isu kualiti graduan.

Kalau dahulu, setiap graduan baru mempunyai daya kemahiran asas yang tinggi dan keupayaan untuk bekerja pada tahap penyeliaan yang minimum tetapi kini kita seringkali berhadapan dengan kelemahan kemahiran bekerja yang asas.

Contohnya, penguasaan penulisan graduan kini amat lemah, sehinggakan hendak menulis sekeping surat pun mengambil masa yang lama untuk memenuhi kehendak minimum majikan.

Suatu masa dahulu, graduan komunikasi media (mass comm) memang menguasai gaya penulisan media yang cekap tetapi hari ini ramai juga yang gagal menulis dengan baik yang tidak  mencerminkan tahap kelulusan akademik mereka.

Itulah sebabnya kenapa penulis sendiri akan menyemak keputusan SPM setiap calon graduan yang ditemuduga dan semua sijil di peringkat sekolah terlebih dahulu sebelum melihat sijil-sijil akademik peringkat tinggi.

Aliyah Ilmi Nordin, anak penulis menerima anugerah Future Leader Award daripada Profesor Stephen Boyle, Dekan Fakulti  Perniagaan, Universiti South Australia (UnISA). Beliau kini bekerja dengan sebuah firma terkemuka di Australia.

Ini kerana penulis percaya bahawa pencapaian seseorang graduan IPT sangat bergantung kepada pencapaian di peringkat sekolah. Segala pencapaian akademik dan ko-kurikulum mereka adalah mencerminkan kemahiran ilmu, karektor dan sikap sebenar mereka sebagai pekerja pada masa depan.

Pada pandangan penulis yang sudah bergelumang dengan sistem pendidikan sejak 30 tahun yang lalu, pencapaian sebenar setiap individu adalah bergantung kepada sistem pendidikan di peringkat sekolah. 

Di sinilah segala asas kehidupan bermula. Manakala pendidikan peringkat tertiary hanyalah pelengkap akhir yang juga bergantung kepada penguasaan setiap individu ketika di alam persekolahan.

Impak Covid-19 yang telah menjadi faktor pelonjak (force factor) kepada kehidupan manusia zaman ICT ini sudah lama disedari dan cuba disediakan dalam sistem pendidikan kita terutama dalam tempoh 10 tahun kebelakangan.

Namun banyak kekangan yang menghalang keberkesanan perlaksanaannya kerana pergolakan politik Malaysia dalam tempoh 5 tahun kebelakangan dan kegagalan pentadbir membawa misi dan visi yang lebih baik.

Akhirnya, kita sudah tertinggal dalam persaingan antarabangsa, waima dengan negara yang mundur sebelum ini seperti Indonesia dan Vietnam.

Selain mengubah kehidupan dengan kehidupan gaya hidup ICT, cabaran masa depan yang penuh dengan krisis, konflik dan bencana alam memerlukan sistem pendidikan yang berkesan dan bersedia  ke arah itu.

Antaranya ialah pembelajaran yang memberi tumpuan kepada Pemikiran Kritikal (Critical Thinking) dan penyelesaian masalah.

Maka daripada kemahiran inilah akan melahirkan masyarakat yang berilmu dan berkemahiran tinggi, kreatif dan inovatif, tahan diuji zaman dan sentiasa di hadapan dalam arus persaingan.

Oleh itu, pembelajaran kita bukan lagi semata-mata berorientasikan permainan fakta dan angka (sekadar lulus markah peperiksaan) semata-mata tetapi juga keupayaan pemikiran tinggi yang luar biasa untuk mengharungi cabaran hidup manusia pada masa depan, dalam era manusia berteknologi tinggi mendepani cabaran zaman.

Apa yang penulis sampaikan kali ini adalah berdasarkan pengalaman penulis sendiri yang telah melalui proses pendidikan di Malaysia, latarbelakang penulis sebagai graduan bidang pendidikan, sebagai pendidik di institusi awam dan swasta, berkecimpung daripada peringkat sekolah hingga tertiary dan sebagai bapa yang melahirkan anak-anak generasi masa depan bertaraf global.

  

  • Penulis adalah Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (IGROW) dan Aktivis Ekonomi Sosial. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

 

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan