28.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Lelaki cederakan isteri mengandung hingga parah direman

Mesti Baca

Keluarga isteri harap dapat keadilan setimpal perbuatan

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki yang disyaki mencederakan isteri sehingga parah seperti yang tular di media sosial baru-baru ini, direman selama enam hari bermula semalam (12 Jun) hingga 17 Jun depan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Mohd Padzli Mohd Zain berkata, individu yang berumur 38 tahun dan bekerja sebagai peniaga itu, direman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 326A kanun yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

“Lelaki terbabit ditahan di tepi jalan kawasan Taman Bukit Angsana, Kuala Lumpur, kira-kira pukul 11 pagi, semalam (11 Jun).

“Tangkapan dibuat ekoran kes yang disiasat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan pada 5 Mei lepas,” katanya seperti dilapor Bernama.

Pada 17 Mei lepas, media melaporkan seorang penjawat awam berumur 43 tahun yang bertugas di sebuah jabatan kerajaan di negeri Johor, dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini selepas dipercayai dicederakan suaminya, 4 Mei lepas.

Menurut laporan itu, mangsa yang sedang hamil empat minggu mengalami kecederaan parah pada kepala dan tengkoraknya terpaksa dibuang akibat pendarahan, selain rahang, tulang belakang serta rusuk, retak disyaki dipukul suaminya.

Susulan itu, pada 18 Mei lalu, polis dilaporkan telah mengedarkan gambar dan butiran diri lelaki itu, bagi memudahkan orang ramai memberi maklumat lokasi keberadaan individu terbabit, selepas keluarga mangsa membuat laporan polis berhubung insiden berkenaan.

Advertisements

Sementara itu, keluarga wanita tersebut berharap penahanan suspek berusia 38 tahun itu dapat memberi keadilan kepada mangsa.

Adik mangsa, Fazariah Nordin, 38, bersama keluarganya lega dengan penahanan lelaki itu.

“Bersyukur sangat dia sudah ditangkap polis. Harap dia akan dikenakan hukuman setimpal di atas perbuatannya terhadap kakak saya.

“Kecederaan yang dialami kakak saya bukan sedikit, tetapi amat berat dan sehingga kini dia belum sedar, walaupun sudah mendapatkan rawatan di dua hospital selama hampir sebulan.

“Kakak alami kecederaan parah pada bahagian kepala, tengkorak selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak,” katanya dipetik Harian Metro semalam.

Fazariah berkata, kakak sulungnya daripada tujuh beradik itu, Jahidah Nordin, 43, masih menggunakan saluran tiub untuk makan dan minum, tetapi mereka lega selepas dimaklumkan doktor yang kandungannya dalam keadaan baik.

“Ketika ini, anak yang dikandungnya berusia 15 minggu dengan jangkaan melahirkan anak pada Disember depan.”

Advertisements

Terkini

Zahid, Muhyiddin sepakat batal saman, henti pertikaian peribadi

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membuat...

Lagi Artikel Berkaitan