24.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Prasarana gerak aset pacu vaksinasi COVID-19

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menawarkan penggunaan aset-aset miliknya untuk menjadi pemacu Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) khususnya di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Pahang.

Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datin Norlia Noah berkata, langkah itu adalah bersandarkan kepada keyakinan bahawa kunci kepada kejayaan untuk Pelan Pemulihan Negara adalah dengan mempercepatkan proses vaksinasi nasional kepada rakyat.

“Prasarana menyokong penuh kepada Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan oleh Perdana Menteri dua hari lepas dan misi kerajaan untuk membawa negara keluar segera daripada krisis penularan wabak COVID-19.

“Sebagai tunggak utama pengangkutan awam negara, Prasarana akan bekerjasama dengan pelbagai kementerian, agensi, syarikat swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menjalankan program khidmat masyarakat bagi memastikan program vaksinasi nasional berjalan dengan lancar,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Prasarana Covid
Gambar: Prasarana

Menurut beliau, Prasarana telah mula bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan, Kementerian Sains, Innovasi dan Teknologi Malaysia (MOSTI), Kementerian Pengangkutan, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU) dan Kementerian Kewangan seawal Mac 2020 untuk menghebahkan maklumat tentang COVID-19.

Norlia memberitahu, maklumat yang disampaikan merangkumi langkah-langkah kawalan dan pencegahan jangkitan serta pelan tindakan pemulihan ekonomi seperti PENJANA dengan menggunakan platform pengiklanan kendaliannya termasuk skrin-skrin di stesen-stesen LRT dan monorel serta aset digital di dalam bas dan tren.

Tambah beliau, semua aset itu akan terus digunakan secara agresif sebagai sumber publisiti dalam meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang ramai tentang kepentingan vaksinasi serta mempromosi Pelan Pemulihan Negara.

Advertisements

“Prasarana amat komited untuk membantu mempercepatkan proses vaksinasi dan terbuka kepada perbincangan untuk menjadikan bas-bas miliknya termasuk di Pulau Pinang dan Pahang sebagai pusat-pusat vaksinasi bergerak untuk memudahkan pengambilan vaksinasi dalam kalangan rakyat.

“Pada masa ini, bas-bas kami turut digunakan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang untuk pemindahan mereka yang disahkan positif COVID-19 ke pusat-pusat kuarantin yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

“Kesemua kapten bas yang ditugaskan untuk kerja berkenaan telah diberikan suntikan vaksin sebelum perkhidmatan bas itu dilaksanakan pada 9 Jun lepas. Secara keseluruhan, semua staf-staf barisan hadapan kami juga terlatih dalam penjagaan diri dan prosedur operasi standard (SOP) dalam pencegahan penularan wabak COVID-19,” jelasnya.

Norlia berkata, bagi memudahkan orang ramai untuk pergi ke pusat-pusat vaksinasi dengan mudah, selesa dan selamat, Prasarana juga sedia berbincang dengan Kementerian Kesihatan dan MOSTI untuk membuka pusat-pusat vaksinasi sementara di stesen-stesen LRT seperti Stesen LRT Putra Heights dan Stesen LRT Awan Besar, yang mempunyai kemudahan serta kawasan parkir kereta yang luas.

Menurut beliau lagi, pihak pengurusan sedang merancang pelan untuk menawarkan kakitangan Prasarana untuk berkhidmat sebagai sukarelawan di pusat-pusat vaksinasi bagi membantu meringankan beban yang ditanggung oleh para petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan ketika ini.

“Prasarana melihat Pelan Pemulihan Negara, yang mengandungi empat fasa pelaksanaan, adalah pelan yang realistik dengan mengambil kira realiti dan situasi sebenar risiko yang dibawa wabak ini.

“Ia pasti dapat dilaksanakan dengan jayanya sekiranya seluruh rakyat memberikan kerjasama dengan mematuhi semua SOP yang ditetapkan. Sekarang adalah masa untuk seluruh rakyat bersama-sama berganding bahu dalam menjaga kesejahteraan sesama kita,” ujarnya. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan