CYBERJAYA – Kerajaan akan mengambil langkah-langkah susulan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara berhubung titah pandangan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, semalam.
Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, kerajaan menjujung titah pandangan Seri Paduka seperti mana yang terkandung dalam kenyataan Istana Negara tersebut.
Kenyataan itu berkata, dalam sesi-sesi menghadap sebelum ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyembah maklum dan menasihati Seri Paduka mengenai perjalanan pengurusan pandemik COVID-19.
Perdana Menteri turut menyembah maklum mengenai penguatkuasaan Ordinan-ordinan Darurat, pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, pakej-pakej rangsangan ekonomi dan bantuan kewangan kepada rakyat.
Selain itu, pelaksanaan sidang Parlimen, Pelan Pemulihan Negara dan perkara-perkara lain yang berkaitan juga telah dipersembah maklum kepada Seri Paduka.
“Menjunjung titah pandangan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Kerajaan akan mengambil langkah-langkah susulan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara,” kata kenyataan tersebut hari ini
Dalam kenyataan Istana Negara semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat.
Seri Paduka turut menzahirkan pandangan itu setelah memperhalusi semua pandangan para pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat para pakar dari agensi-agensi kerajaan.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas Al-Sultan Abdullah selesai berangkat menghadiri dan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara. – Edisi 9