26.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, September 18, 2021

PKP penuh: Sektor sawit, getah dan koko boleh beroperasi

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Sebagai perkhidmatan perlu di bawah perladangan dan komoditi, subsektor sawit, getah, koko dan lada serta rantaiannya adalah dibenarkan untuk meneruskan operasi sepanjang tempoh penutupan penuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, aktiviti melibatkan penuaian, pengumpulan, pengangkutan dan penyelenggaraan pada peringkat ladang, kebun serta tapak semaian boleh dilaksanakan dengan kehadiran pekerja pada tahap optimum.

Menurut beliau, aktiviti dagangan subsektor agrikomoditi tersebut seperti jualan, belian, penggredan, pengangkutan dan pengumpulan serta input pertanian termasuk penyemaian anak benih, baja, racun, peralatan, alat ganti jentera dan mesin turut dibenarkan.

“Selain itu, sebagai menyokong sektor tenaga sebagai salah satu perkhidmatan perlu, subsektor biodiesel dan rantaiannya juga dibenarkan beroperasi.

“Walau bagaimanapun, kehadiran pekerja di kilang atau premis pemprosesan bagi subsektor yang dibenarkan iaitu sawit, getah, koko, lada dan biodiesel adalah tertakluk kepada had maksima sehingga 60 peratus,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Khairuddin menambah, bagi subsektor perabot, pembekalan produk kayu-kayan itu dibenarkan untuk kemudahan di hospital, Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah COVID-19 (PKRC) dan lain-lain berkaitan COVID-19.

Baca juga:   52,000 ujian saringan di Selangor punca kes harian cecah 11,000

Namun, beliau memberitahu, KPPK mengingatkan bahawa bagi aktiviti subsektor kayu-kayan dan kenaf adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh penutupan penuh PKP.

“Sehubungan itu untuk kemudahan sementara, semua syarikat, estet dan pekebun kecil agrikomoditi bagi subsektor yang diluluskan, dibenarkan menggunakan surat kelulusan oleh KPPK dan agensi secara bersekali untuk beroperasi sebelum pendaftaran COVID-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0 Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) diluluskan.

Baca juga:   Firna Azura Ekaputri dilantik Pengarah Eksekutif IPC

“Justeru, semua pemain industri terutama kepada majikan dan pekerja hendaklah memastikan prosedur operasi standard (SOP) baharu yang telah ditetapkan dipatuhi,” jelasnya.

Mohd Khairuddin berkata, pemantauan yang lebih kerap oleh majikan kepada pematuhan oleh pekerja hendaklah dilaksanakan.

Menurut beliau, antaranya adalah penggunaan aplikasi MySejahtera, suhu badan tidak melebihi 37.5 darjah selsius dan tidak bergejala.

“Sekiranya gagal, pemilik premis akan dikenakan tindakan undang-undang,” tegasnya.

Mohd Khairuddin memberitahu, majikan sektor agrikomoditi perlu merujuk kepada SOP Sektor Agrikomoditi terkini yang dikemas kini oleh KPPK.

Sebarang pertanyaan berhubung SOP tersebut boleh dikemukakan kepada KPPK di talian hotline 03-88803498, Isnin hingga Jumaat dari pukul 8 pagi hingga 5 petang atau melalui e-mel: [email protected]

KPPK berharap pematuhan SOP yang lebih ketat dan tegas oleh semua akan dapat menurunkan bilangan kes COVID-19 sekali gus mampu meredakan kebimbangan rakyat dan memulihkan ekonomi negara dengan segera. – EDISI 9

Baca juga:   Sektor agrikomoditi di wilayah Sabah diperkasa

Terkini

Harga ayam mahal, KPDNHEP sahkan tiada pembabitan kartel

CYBERJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesahkan tiada pembabitan pihak kartel disebalik kenaikan harga...

Lagi Artikel Berkaitan