26.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Penjawat awam potong elaun sumbang Akaun Amanah Bencana

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Sebahagian Imbuhan Tetap Keraian (ITK) bagi Pengurusan Tertinggi dan Gred 44 hingga Gred 56, serta Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) bagi Gred 29 hingga Gred 41 yang dinikmati oleh penjawat awam pada masa kini akan disumbangkan kepada Akaun Amanah Bencana bagi usaha menangani pandemik COVID-19.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, sumbangan diberikan selama tiga bulan di mana penjawat awam gred JUSA A ke atas ditetapkan kadar 50 peratus, JUSA B 20 peratus, JUSA C 10 peratus dan Gred 44 hingga 56 lima peratus daripada ITKA masing-masing.

Menurut beliau, penjawat awam gred 29 hingga 41 pula ditetapkan sumbangan sebanyak RM10 daripada ITKA masing-masing kepada Akaun Amanah Bencana.

“Surat edaran dan perincian pelaksanaan ini akan dikeluarkan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Zuki memberitahu, sumbangan dari lebih 800,000 penjawat awam tidak termasuk petugas barisan hadapan serta penjawat awam Gred 1 hingga Gred 28 adalah dianggarkan berjumlah lebih RM30 juta.

Beliau menambah, penjawat awam memahami penjawat awam khususnya sentiasa menjadi tulang belakang kerajaan dalam usaha mengimbangi nyawa dan kehidupan.

“Sumbangan ini adalah tanda kebersamaan para penjawat awam dalam menyokong usaha kerajaan bagi memerangi dan melandaikan keluk jangkitan pandemik COVID-19 di negara kita.

“Semoga pengorbanan ini menjadi asbab kebaikan dalam kehidupan bagi setiap anggota perkhidmatan awam dan ahli keluarga kita.

“Marilah kita meneruskan ikhtiar dan meningkatkan komitmen dalam memberikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan Negara serta membantu memastikan kita berjaya mengharungi tempoh yang mencabar ini,” jelasnya.

Semalam, Presiden CUEPACS, Adnan Mat mencadangkan agar semua penjawat awam Gred 54 ke bawah menyumbang sekurang-kurangnya sebanyak RM10 setiap seorang kepada tabung COVID-19.

Adnan berkata, dana tersebut digunakan untuk mengekang penularan wabak COVID-19.

adnan mat
ADNAN MAT

Menurut beliau, cadangan kutipan sumbangan dikecualikan kepada petugas kesihatan, petugas keselamatan, pertahanan dan penguatkuasaan yang terlibat secara aktif di barisan hadapan mengekang penularan COVID-19 sebagai salah satu penghargaan kepada mereka.

“Sumbangan RM10 ini boleh dibuat melalui potongan gaji oleh kerajaan sekiranya dipersetujui kelak.

“Sekiranya ada dalam kalangan penjawat awam ingin memberi sumbangan yang lebih, ia adalah keputusan masing-masing dan boleh dilaksanakan melalui prosedur yang diputuskan kerajaan,” katanya. – EDISI 9

Terkini

GiatMARA Bagan Datuk dinaik taraf sebagai Institut Malaysia-China

PUSAT GiatMARA Bagan Datuk, Perak bakal dinaikkan taraf sebagai Institut Malaysia-China (MCI) yang akan memberi fokus dalam TVET bidang...

Lagi Artikel Berkaitan