26.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 9, 2024

Bukan mudah nak dapatkan Dion, terima kasih TMJ – Stuart

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

“BUKAN mudah nak dapatkan Dion Cools. Ia melibatkan proses panjang,” kata Setiusaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.

Beliau berkata, usaha tersebut sudah bermula sejak pemain kelahiran Kuching, Sarawak itu menyatakan berminat dan bersetuju untuk bermain untuk negara kelahirannya.

Pada masa yang sama Stuart berterima kasih kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana memainkan peranan penting meyakinkan Dion untuk bermain bersama skuad senior negara.

“Proses penukaran status pasukan negara Dion dari Belgium ke Malaysia sebenarnya sudah berjalan lama selepas pemain itu sendiri berminat dan bersetuju memilih Malaysia sebagai negara yang ingin diwakilinya di peringkat senior ini,” kata beliau hari ini.

Stuart berkata, biarpun telah mewakili Belgium bagi skuad B-18, B-19 dan B-21 negara berkenaan, Dion masih layak untuk menyarung jersi Harimau Malaya dengan kelulusan Jawatankuasa Status Pemain FIFA serta syarat beliau tidak pernah beraksi bersama skuad senior kebangsaan Belgium.

“Syarat lain juga telah dipenuhi apabila beliau lahir di Malaysia dan ibunya juga merupakan warganegara Malaysia,” katanya.

Bagi mendapatkan perincian mengenai perlawanan Dion bersama pasukan bola sepak Belgium, FAM telah beberapa kali menghantar surat secara rasmi kepada Persatuan Bolasepak Belgium (RBFA).

Advertisements

Kata Stuart, selepas menerima bantuan FIFA, RBFA telah pun membalas permintaan FAM dengan memberikan perincian berkenaan penglibatan Dion dalam skuad B-18 dan B-19 Belgium dari 2014 hingga 2015 dan skuad B-21 Belgium dari 2016 hingga 2019 bersama senarai perlawanan.

“Selain itu RBFA juga mengesahkan bahawa Dion tidak pernah beraksi dalam mana-mana perlawanan rasmi bersama skuad senior kebangsaan Belgium,” jelas Stuart lagi.

FAM kemudiannya telah membuat permohonan kepada Jawatankuasa Status Pemain FIFA dengan melampirkan dokumen-dokumen berkaitan pemain bersama surat perincian yang diterima daripada RBFA.

Setelah membuat penelitian terhadap asas-asas yang diguna pakai dan dokumen-dokumen berkaitan, Jawatankuasa Status Pemain FIFA akhirnya telah membuat keputusan untuk meluluskan permohonan tersebut.

“Selepas mendapat kelulusan FIFA, FAM dengan segera mendaftarkan nama Dion dalam senarai awal pendaftaran pemain bagi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dan selepas ia diluluskan FIFA dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), barulah FAM boleh mengumumkan secara rasmi Dion sebagai pemain Harimau Malaya,” katanya.

Pengumuman mengenai penyertaan Dion dalan skuad Tan Cheng Hoe dibuat Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin pagi ini (waktu Malaysia) di Dubai.

Pemain yang kini beraksi bersama kelab FC Midtjylland, Denmark itu dijangka diturunkan pada perlawanan menentang UAE pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 Khamis ini bagi memperkuatkan benteng pertahanan Harimau Malaya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Selangor sah tarik diri Piala Sumbangsih bertemu JDT

SELANGOR FC (SFC) membuat keputusan untuk menarik diri daripada perlawanan Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’azim di Stadium Sultan...

Lagi Artikel Berkaitan