33.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

Pelan Pemulihan Negara berkesan pulih ekonomi – SPNB

Mesti Baca

CYBERJAYA – Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) sebagai sebuah organisasi yang diberi mandat untuk menyediakan rumah mampu milik berkualiti dan mampan rakyat di Malaysia menyambut baik dan menyokong penuh Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.

SPNB yang sinonim dengan projek perumahan Rumah Mesra Rakyat menyifatkan pelan berkenaan menjadi manifestasi kepada hasrat dan usaha kerajaan untuk mengakhiri kemelut pandemik COVID-19 serta mengembalikan ekonomi Malaysia ke tahap prapandemik dengan segera.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Hasleen Isnin dalam satu kenyataan hari ini berkata, sebagai salah satu pemain dalam industri perumahan di Malaysia, SPNB percaya sebarang usaha untuk memulihkan negara, baik dari segi ekonomi mahupun kesihatan harus disokong penuh.

“Kerana ia bukan sahaja menjamin kelangsungan sektor perumahan dan pembinaan, tetapi lebih penting ia dapat memastikan syarikat dapat menunaikan janji untuk terus memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan, strategi Pelan Pemulihan Negara yang dilaksanakan kerajaan merangkumi empat fasa dan akan melibatkan pelan peralihan fasa PKP secara berperingkat.

Beliau menjelaskan, setiap fasa pelan pemulihan itu berpaksikan kepada data yang bersandarkan tiga indikator ambang utama untuk beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya.

Pada masa sama, Hasleen menambah, SPNB turut menyambut baik langkah kerajaan untuk melancarkan program pemberian vaksin kepada sektor ekonomi kritikal menerusi Fasa Keempat Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) seperti mana yang diumumkan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) baru-baru ini.

“Kami ambil maklum wujudnya risiko penularan wabak terutamanya melibatkan kluster tempat kerja, dan kami percaya usaha kerajaan mempercepatkan proses imunisasi kepada sektor ekonomi kritikal yang menjadi teras kepada pembangunan ekonomi adalah bertepatan dengan usaha untuk menyegerakan proses pemulihan negara.

“SPNB juga akan terus menyokong program imunisasi kerana kami percaya, apabila sektor-sektor kritikal sudah boleh beroperasi dengan baik, ia secara tidak langsung bakal menyokong sektor-sektor ekonomi yang lainnnya, bertepatan dengan indikator dan fasa yang digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri,” tambahnya.
.
Menurut beliau, SPNB komited untuk terus bekerjasama dengan kerajaan, pemegang taruh dalam industri serta pelanggan-pelanggan untuk memastikan semua pihak cekal dan tabah bersama sama mengharungi dan mengakhiri kemelut ini bersama-sama.

SPNB akan memastikan pematuhan SOP dalam operasi dan memantau serta menggalakkan vaksinasi di kalangan kakitangan, kontraktor dan pembekal sepanjang operasi dalam jangka waktu pemulihan. – EDISI 9

Terkini

Agong murka isu stoking tertera kalimah Allah

YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim murka serta menzahirkan perasaan dukacita berhubung isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di...

Lagi Artikel Berkaitan